Southern Score Builders fokus kepada inovasi teknologi tingkatkan kecekapan proses pembinaan | DagangNews Skip to main content

Southern Score Builders fokus kepada inovasi teknologi tingkatkan kecekapan proses pembinaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - Southern Score Builders Berhad terus memberi fokus bagi menyediakan teknologi pembinaan termaju bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan dan kemampanan dalam proses pembinaan.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gan Yee Hin berkata, pihaknya juga akan terus memberi tumpuan kepada penyediaan inovasi industri pembinaan bagi merevolusikan sektor perumahan di Malaysia.

 

Beliau berkata, pihaknya akan terus memasuki tender secara agresif bagi mendapatkan lebih banyak projek selain meluaskan asas hasil dengan menyasarkan lebih banyak projek luar dan menjangkakan beberapa tender direalisasikan dalam beberapa bulan akan datang.

 

"Bagi temppoh terdekat, kami menjangkakan pendapatan akan didorong oleh pelaksanaan dan penyampaian yang mantap bagi semua projek pembinaan kami yang sedang berjalan kerana kami terus berada di landasan untuk menyampaikan jaminan keuntungan terkumpul sebanyak RM80 juta dari FY22 hingga FY24," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu melaporkan hasil sebanyak RM28.6 juta dan mencapai keuntungan operasi sebanyak RM6.2 juta bagi 1QFY24.

 

Perolehan kumpulan merosot sebanyak 6.6% daripada RM30.6 juta pada suku sebelumnya disebabkan hasil yang lebih rendah daripada salah satu projek yang sedang menunggu permulaan kerja pembinaan.

 

Kumpulan itu mencapai keuntungan operasi sebanyak RM6.2 juta, penyusutan daripada 4QFY23 disebabkan ketiadaan pengurangan dalam anggaran kos pembangunan kasar bagi salah satu projek yang menyumbang kepada kos jualan yang lebih rendah dan kesan asas yang tinggi.

 

Sehingga 30 September 2023, Southern Score memiliki kedudukan tunai bersih sebanyak RM54.7 juta.

 

Nilai agregat aset semasa berjumlah RM187 juta dan liabiliti semasa sebanyak RM42.8 juta. - DagangNews.com