SP Setia rangkul kemenangan berganda anugerah emas FIABCI World Prix d’Excellence Awards 2023 di Miami | DagangNews Skip to main content

SP Setia rangkul kemenangan berganda anugerah emas FIABCI World Prix d’Excellence Awards 2023 di Miami

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Jun - SP Setia merangkul kemenangan berganda anugerah emas dunia di FIABCI World Prix d’Excellence Awards 2023 yang berlangsung di Miami, Florida, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

 

Kemenangan itu sekali gus mencatat rekod sebagai pemaju hartanah Malaysia yang memiliki kemenangan terbanyak dengan jumlah 17 anugerah emas tersebut.

 

Salah satu pembangunan siri eko, Setia Eco Templer di Rawang memenangi anugerah teratas dalam kategori pelan induk manakala Setia V Residences, Pulau Pinang turut menduduki tempat teratas di bawah kategori kediaman bertingkat.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Choong Kai Wai berkata, pengiktirafan itu membuktikan usaha berterusan pihaknya dalam membentuk hari esok yang lebih baik untuk komuniti dan generasi datang melalui kediaman yang dibina.

 

"Dengan tumpuan kami untuk mencipta masa depan lebih hijau, kami komited untuk menjadi pemacu perubahan, mengubah cara hidup kita, menyepadukan amalan mampan melalui pembangunan dan operasi serta ruang yang memberi inspirasi.

 

"Kami juga melancarkan Pelan Hala Tuju Kelestarian yang mana kami menyasarkan untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Selain itu, Setia Eco Templer dan Setia V Residences juga merupakan pemenang di bawah kategori pelan induk dan kediaman bertingkat di di Anugerah Hartanah FIABCI Malaysia 2022 pada Mac lalu.

 

 

spsetia

 

 

Setia Eco Templer seluas 194 ekar di timur Rawang, terletak di antara Bukit Takun, Taman Templer dan Taman Hutan Air Terjun Kanching.

 

Lebih daripada 30% daripada kawasan tanah perbandaran dikhaskan untuk kawasan hijaunya merangkumi sembilan anak sungai semula jadi, tiga taman, tasik dan kawasan hijau.

 

Konsep 'Legend of Nine Creeks' dicipta untuk Setia Eco Templer sebagai sembilan anak sungai sedia ada secara semula jadi telah dipelihara di tapak semasa pembangunannya.

 

Selain itu,  Setia V Residences yang terletak di atas tanah seluas 1.82 ekar di sepanjang Gurney Drive, adalah pembangunan kediaman tertinggi di Pulau Pinang yang memberikan pemandangan indah Lautan Hindi dan pusat bandar. 

 

Dibina di atas bangunan warisan terpelihara yang kini berfungsi sebagai pejabat pengurusan kediaman, ia terdiri daripada dua menara kondominium mewah yang mana Menara A mempunyai 48 tingkat dengan 106 unit manakala Menara B setinggi 31 tingkat dengan 72 unit. - DagangNews.com