SPCAAM persoal tindakan kumpulan perniagaan bantah cadangan wajibkan bonus perayaan kepada pekerja | DagangNews Skip to main content

SPCAAM persoal tindakan kumpulan perniagaan bantah cadangan wajibkan bonus perayaan kepada pekerja

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) mempersoalkan tindakan Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Syed Hussain Syed Husman membantah cadangan supaya kerajaan mewajibkan semua majikan memberikan bonus sebulan sebagai bantuan perayaan kepada pekerja, akan mengakibatkan beban besar terhadap perniagaan yang masih dalam pemulihan selepas pandemik COVID-19.

 

Menurut SPCAAM, selain itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), William Ng itu turut memberi amaran bahawa langkah itu akan memberi beban kewangan besar kepada majikan, khususnya melihat kepada margin keuntungan yang berkurangan sejak pandemik.

 

Presiden SPCAAM, J Solomon berkata, pada 2022, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merekodkan kutipan cukai langsung RM175.4 bilion, iaitu peningkatan 21.75% berbanding pada 2021. 

 

Beliau berkata, kutipannya bagi tahun 2023 berkemungkinan lebih tinggi lagi, kerana menurut Timbalan Menteri Kewangan II ketika itu, Steven Sim, menjelang Mei 2023, kutipan cukai sudah hampir 20% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Katanya, menurut Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur, cukai korporat menyumbang RM97.94 bilion, atau 55% daripada keseluruhan hasil cukai 2022. 

 

Beliau turut menyatakan kumpulan T20 menyumbang 85%, atau RM33.68 bilion, daripada cukai pendapatan persendirian yang dikutip pada 2022. 

 

"Jika pemilik perniagaan dan syarikat masih dalam proses pemulihan daripada pandemik COVOD-19 seperti didakwa Syed Hussain dan Willaim Ng, bagaimanakah LHDN mungkin meraih kutipan setinggi itu?

 

"Ekonomi Malaysia tumbuh 8.7% pada 2022. Pada 2021, ia berkembang 3.1% dan pada 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Malaysia berkemungkinan mencapai pertumbuhan  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4 hingga 5%.

 

"Jika setiap tahun ekonomi berkembang, bagaimana pula perniagaan dan syarikat masih bergelut?," soalnya dalam kenyataan media di sini.

 

https://www.tiktok.com/@dagangnews/video/7339762141601320194?is_from_webapp=1&web_id=7254837072970827265

 

Solomon berkata, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), eksport Malaysia pada Januari 2024 meningkat lebih 8.7% dari setahun sebelumnya kepada RM122.43 bilion (AS$34.4 bilion), iaitu lebih daripada 3% pertumbuhan yang diramalkan pakar. 

 

Secara keseluruhannya katanya, menurut kajian MIDF, eksport Malaysia dijangka pulih dan berkembang sebanyak 4.5% pada 2024 dan senarainya lebih panjang lagi. 

 

"Jika perniagaan dan syarikat mengeksport lebih banyak, kenapa mereka mendakwa masih menderita dalam era pascapandemik? Wajarlah sekiranya MEF berhenti menyekat kemajuan pekerja, memandangkan pekerja inilah tanpa jemu mengabdikan diri ke arah kejayaan majikan mereka.

 

"Berdasarkan contoh ditunjukkan Indonesia, kita dapat melihat dengan jelas bahawa sebenarnya tidak sukar untuk kerajaan meminta pemilik perniagaan atau eksekutif tertinggi syarikat, supaya memiliki pertimbangan dan keadilan dalam membuat penilaian betapa berharganya pekerja mereka," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: PM Anwar digesa contohi Indonesia beri bantuan perayaan sebulan gaji kepada pekerja - SPCAAM

 

Katanya, majikan Malaysia mesti menyedari bahawa semua pekerja termasuk pengurus besar di Indonesia menerima gaji sebulan dan kerajaan mewajibkan pemberian bantuan perayaan. 

 

 

 

 

"Apapun, pelbagai syarikat Malaysia dengan penuh semangat melabur di Indonesia. Jika diminta kerajaan, perniagaan dan syarikat ini sudah pasti turut melihat pedomannya.

 

"Persoalannya cuma satu, adakah kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup berbincang dengan perniagaan dan syarikat sekurang-kurangnya bagi pihak pekerja berpendapatan rendah? 

 

Bagi pihak jutaan pekerja B40 dan M40, SPCAAM ingin merayu Perdana Menteri supaya bersedia mengadakan perbincangan dengan pemilik perniagaan dan eksekutif tertinggi syarikat, dan minta agar mereka munasabah dan menggunakan pertimbangan sewajarnya dalam menganggarkan nilai sendiri serta nilai pekerja mereka yang berpendapatan rendah.

 - DagangNews.com