Spritzer, KNP Development meterai usaha sama bangunkan projek perumahan di Perak | DagangNews Skip to main content

Spritzer, KNP Development meterai usaha sama bangunkan projek perumahan di Perak

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb - Spritzer Bhd, pengeluar air botol terbesar negara, memeterai perjanjian usaha sama (JV) untuk membangunkan projek perumahan kediaman di daerah Larut Matang, Perak, tempat kumpulan itu berpangkalan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Spritzer berkata, usaha sama dengan firma pembinaan KNP Development Sdn Bhd memberikan peluang yang baik untuk kumpulan itu untuk bertapak dalam industri pembangunan hartanah.

 

Di bawah perjanjian itu, Spritzer akan menanggung kos dan perbelanjaan untuk membina rumah di atas sebidang tanah seluas 2.34 hektar yang disediakan oleh KNP. Anggaran kos tidak dinyatakan dalam pemfailan.

 

KNP akan mendapat 15% daripada hasil jualan. Kelayakan akan dibayar berdasarkan kutipan sebenar tuntutan progresif daripada pembeli akhir setiap bulan.

 

Spritzer sebaliknya, berhak mendapat hasil jualan yang selebihnya. Ia ditetapkan untuk menjadi pemilik benefisial mutlak tanah tersebut setelah memenuhi sepenuhnya kelayakan KNP.

 

Spritzer berkata, JV itu tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas aset bersih, pendapatan, penggearan dan struktur pegangan sahamnya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Kumpulan itu menyaksikan keuntungan bersih suku tahunannya meningkat 48.5% kepada rekod tertinggi RM16.97 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Septmber 2023 (3QFY2023), meningkat daripada RM11.43 juta untuk 3QFY2022. 

 

Keuntungan bersih bagi sembilan bulan terkumpul, sementara itu, meningkat 41% kepada RM36.27 juta, daripada RM25.7 juta bagi tempoh yang sama sebelumnya. - DagangNews.com