Standard Chartered Malaysia lantik Samuel Ding sebagai Ketua Transaksi Perbankan | DagangNews Skip to main content

Standard Chartered Malaysia lantik Samuel Ding sebagai Ketua Transaksi Perbankan

Samuel Ding

KUALA LUMPUR 22 Jun - Standard Chartered Malaysia melantik Samuel Ding sebagai Ketua Transaksi Perbankan  menggantikan Wendy Ang yang beralih angin dengan memainkan peranan baharu bersama SC Ventures.

 

Susulan pelantikan itu, Samuel akan melapor kepada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A.Anwar dan Ketua Pengurusan Tunai, ASEAN dan Ketua Global Penyelesaian Struktur Pengurusan Tunai, Ankur Kanwar.

 

Dalam kenyataan hari ini, Abrar berkata, Samuel adalah seorang profesional yang sangat berjaya, dan pihaknya mengalu-alukan kedatangannya semula ke dalam kumpulan.

 

"Pelantikannya datang pada ketika peluang yang besar di mana Standard Chartered berada di barisan hadapan dalam menginovasi dan mengubah produk B2C dan B2Bnya. 

 

"Saya yakin Samuel akan dapat membina kejayaan bersama dan momentum perniagaan kami di Malaysia dan membantu pelanggan kami mengharungi cabaran perdagangan global, memanfaatkan peluang yang muncul, berinovasi dan mendigitalkan untuk pertumbuhan," katanya. 

 

Samuel tidak asing lagi dalam perkhidmatan kewangan profesional dengan memiliki pengalaman hampir 20 tahun. 

 

Beliau memulakan karier dengan Standard Chartered Malaysia di bawah Perbankan Borong, Korporat Tempatan dan anak-anak syarikat global pada 2005 dengan jawatan terakhirnya sebagai Ketua Korporat Antarabangsa.

 

Sebelum menyertai kumpulan perbankan itu, beliau memegang beberapa jawatan kanan dalam Perbankan Pelaburan dan Transaksi Perbankan dengan CIMB dan BNP Paribas Malaysia. - DagangNews.com