KUALA LUMPUR 10 Okt - Jumlah stok minyak sawit Malaysia meningkat 9.6% kepada 2.31 juta tan pada September daripada 2.11 juta tan pada bulan sebelumnya, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Dalam laporan prestasi industri terkininya bagi September 2023, MPOB berkata, inventori minyak sawit mentah (MSM) meningkat 14.24% kepada 1.37 juta tan bulan lepas daripada 1.2 juta tan pada Ogos manakala stok minyak sawit yang diproses naik 3.47% kepada 942,553 tan pada bulan September daripada 910,903 tan sebelum ini.
Pengeluaran MSM meningkat 4.33% kepada 1.83 juta tan pada September daripada 1.75 juta tan pada bulan sebelumnya dan pengeluaran isirung sawit meningkat 6.16% kepada 446,094 tan daripada 420,216 tan sebelum ini.
Menurut MPOB, eksport minyak sawit turun 2.11%, atau 25,735 tan, kepada 1.2 juta tan pada September daripada 1.22 juta tan sebelum ini manakala eksport oleokimia merosot 6.61% kepada 238,767 tan.
Eksport biodiesel mengukuh 43.73% kepada 28,793 tan pada bulan September daripada 20,032 tan pada bulan sebelumnya.
Eksport dedak isirung sawit meningkat 7.69% kepada 211,057 tan manakala eksport minyak isirung sawit susut 12.8% kepada 80,106 tan daripada 91,866 tan pada Ogos, Bernama melaporkan.
Tiada import MSM untuk September manakala jumlah import minyak sawit turun sebanyak 55.66% kepada 49,504 tan berbanding 110,621 tan pada bulan sebelumnya. - DagangNews.com