Stok sawit susut Disember tahun lepas berikutan pengeluaran, eksport rendah | DagangNews Skip to main content

Stok sawit susut Disember tahun lepas berikutan pengeluaran, eksport rendah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
mohdzulfadli@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Jan - Stok minyak sawit mentah (MSM) bagi Disember tahun lalu jatuh sebanyak 11.89 peratus kepada 830,339 tan daripada 942,354 tan bulan sebelumnya berikutan pengeluaran dan eksport yang rendah. 

 

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memaklumkan, inventori minyak sawit diproses bagi pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia itu pada akhir Disember turut menyusut 13.95 peratus bulan ke bulan kepada 752,701 tan daripada 874,707 tan. 

 

"Secara keseluruhannya, stok jatuh 12.88 peratus kepada 1.58 juta tan daripada 1.82 juta tan sebelumnya. Bagi pengeluaran, output MSM turut menyusut 11.26 peratus kepada 1.45 juta tan daripada 1.63 juta tan pada November," menurut kenyataan tersebut hari ini.

 

Tambah kenyataan itu, pengeluaran isirung sawit merosot 9.8 peratus kepada 350,493 tan daripada 388,562 tan pada bulan sebelumnya, dan menambah bahawa pengeluaran minyak isirung sawit mentah berkurangan 6.15 peratus kepada 168,529 tan daripada 179,565 tan pada November.

 

Memetik laporan Bernama, MPOB berkata, eksport minyak sawit merosot 3.48 peratus bulan ke bulan kepada 1.41 juta tan pada Disember berbanding 1.47 juta tan pada November, manakala eksport minyak isirung sawit jatuh 23.31 peratus bulan ke bulan kepada 94,329 tan berbanding 123,005 tan.

 

"Eksport oleokimia juga menyusut 1.71 peratus bulan ke bulan kepada 241,088 tan daripada 245,273 tan manakala eksport biodiesel jatuh 76.55 peratus bulan ke bulan kepada 13,371 tan daripada 57,033 tan," katanya. - DagangNews.com