Study Melbourne Hub Kuala Lumpur kini beroperasi semula, perkukuh hubungan dua hala Malaysia-Australia | DagangNews Skip to main content

Study Melbourne Hub Kuala Lumpur kini beroperasi semula, perkukuh hubungan dua hala Malaysia-Australia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Mac - Kerajaan Victoria mengumumkan kejayaan pembukaan semula inisiatif pendidikan antarabangsanya, Study Melbourne Hub Kuala Lumpur. 

 

Katanya, inisiatif itu merupakan kesinambungan kepada pelaburan berterusan dalam inisiatif Study Melbourne Hubs yang dilaksanakan khusus untuk menggalakkan hubungan Victoria dengan pelajar antarabangsa.

 

Selain itu, ia juga turut mempromosikan kepimpinan dalam bidang pendidikan, latihan antarabangsa serta penyelidikan dan inovasi, katanya.

 

"Terletak di tingkat satu pusat beli-belah Jaya One, Petaling Jaya, hab yang rancak ini melalui penambahbaikan yang ketara sejak pelancaran awalnya pada 2021 semasa tempoh pandemik COVID-19. 

 

"Membuka semula pintunya secara rasmi kepada orang ramai, premis yang kini berwajah baharu itu dihiasi dengan unsur-unsur yang diinspirasikan dari wilayah Victoria. 

 

"Ruangnya yang diubah suai menempatkan sebuah bilik mesyuarat, ruang acara pelbagai guna dan meja terbuka, mengembalikan memori pengunjung kepada daya tarikan unik Melbourne dan tempat-tempat ikonik di wilayah Victoria," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, Study Melbourne Hub Kuala Lumpur merupakan pusat untuk mendapatkan sumber dan maklumat tentang kursus di luar negeri bagi pelajar-pelajar Malaysia yang memilih untuk belajar dan tinggal di Victoria. 

 

 

victoria

 

 

Katanya, ia juga merupakan tempat khusus untuk memupuk hubungan, menghubungkan pelajar dan alumni yang berkongsi latar belakang sama dalam aspek pendidikan di Victoria. 

 

"Hab ini berfungsi sebagai ruang komuniti yang dinamik, menyediakan alumni, bakal pelajar dan pelajar sedia ada dengan persekitaran yang menarik dan memupuk semangat kekitaan dalam kalangan mereka," katanya.

 

 

victoria

 

 

Ketua Pos Perdagangan dan Pelaburan Kerajaan Victoria Asia Tenggara, Georgina McCann berkata, Study Melbourne Hub Kuala Lumpur mengukuhkan iltizam teguh Kerajaan Victoria terhadap strategi pendidikan antarabangsanya. 

 

 

victoria

 

 

Katanya, ia menandakan usaha sama untuk mengeratkan hubungan antara institusi dan mengukuhkan lagi kedudukan Melbourne dan Victoria sebagai destinasi pilihan untuk pelajar antarabangsa.

 

"Melbourne ialah bandar pelajar utama Australia dan hab ini memainkan peranan penting dalam memupuk semangat kekitaan dan menyediakan maklumat yang berguna untuk pelajar-pelajar antarabangsa", katanya. - DagangNews.com