Subsidiari Capital A, Garuda bakal tubuh entiti bersama bagi MRO gear pendaratan pesawat | DagangNews Skip to main content

Subsidiari Capital A, Garuda bakal tubuh entiti bersama bagi MRO gear pendaratan pesawat

Gambar AirAsia - ADE
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Sept - Asia Digital Engineering Sdn. Bhd (ADE), anak syarikat milik penuh Capital A Bhd memasuki perjanjian helaian terma atau term sheet bersyarat dengan PT Garuda Maintenance Facility Aero Asia Tbk (GMF) mengenai pelaburan yang dicadangkan berkaitan dengan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) gear pendaratan.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, pelaburan dalam perusahaan MRO itu akan dioperasikan oleh entiti yang dimiliki secara bersama oleh ADE dan GMF yang merupakan subsidiari PT GarudaIndonesia (Persero) Tbk.

 

"Transaksi yang dicadangkan akan membolehkan ADE menyokong keperluan penyelenggaraan Kumpulan AirAsia untuk barisan pesawatnya sendiri, sekaligus menjana pendapatan tambahan dan mencipta tawaran perniagaan baharu melalui pelaburan bersama dengan GMF. 

 

"Terdapat juga potensi untuk pengembangan perniagaan pada masa hadapan dan peluang baharu untuk memenuhi keperluan pelanggan pihak ketiga dari rantau APAC (Asia Pasifik dan Oceania)," katanya hari ini.

 

Pemeteraian helaian terma antara ADE dan GMF berlangsung hari ini, kata Capital A dalam pemakluman berkenaan.

 

Menurutnya, transaksi yang dicadangkan akan tertakluk kepada pemeriksaan teliti yang akan dilakukan oleh ADE, perundingan pelaburan yang dimuktamadkan dan syarat-syarat lain yang perlu dipenuhi.

 

"Tertakluk kepada perjanjian muktamad bagi transaksi yang dicadangkan, ADE akan melabur dalam entiti yang dimiliki secara bersama di bawah transaksi yang dicadangkan sejumlah yang setara dengan pegangan sahamnya sebanyak 49% dalam bentuk tunai berdasarkan nilai yang akan dipersetujui oleh kedua-dua GMF dan ADE mengikut kriteria penilaian yang dipersetujui," jelasnya.

 

Term sheet atau secara literal dirujuk sebagai helaian terma berfungsi sebagai isyarat kuat mengenai niat yang menunjukkan kepada kedua-dua pihak, pemegang saham dan pihak berkepentingan dalaman bahawa perbincangan yang serius sedang dijalankan.

 

Tambah kumpulan penerbangan itu, Helaian Terma ini dijangka tidak memberi kesan kepada modal saham yang dikeluarkan dan pegangan pemegang saham utama Capital A, serta aset bersih, tahap hutang, pendapatan, dan pendapatan sesaham Kumpulan Capital A untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024.- DagangNews.com