Subsidiari Protasco setuju bayar RM3 juta kepada TNB, saman didakwa terlanggar kabel bawah tanah selesai | DagangNews Skip to main content

Subsidiari Protasco setuju bayar RM3 juta kepada TNB, saman didakwa terlanggar kabel bawah tanah selesai

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Julai - Anak syarikat milik penuh Protasco Berhad, Kumpulan Ikram Sdn Bhd bersetuju membayar RM3 juta dan kos kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) susulan pertikaian undang-undang yang berlarutan hampir empat tahun.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan Ikram selaku defendan dan TNB mencapai penyelesaian tersebut berhubung tuntutan yang difailkan plaintif di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, pada September 2020. 

 

"Syarikat ingin mengumumkan bahawa pihak-pihak telah mencapai penyelesaian pada 16 Julai 2024 dan merekodkan Penghakiman Persetujuan untuk penyelesaian penuh dan muktamad tuntutan di mana Kumpulan Ikram akan membayar kepada TNB sejumlah penyelesaian sebanyak RM3 juta dan kos sebanyak RM5,000," katanya hari ini.

 

 

Pada 8 September 2020, Protasco memaklumkan Bursa Malaysia yang Kumpulan Ikram telah menerima penyata tuntutan daripada TNB antaranya menuntut ganti rugi berjumlah RM6.8 juta dan ganti rugi am menurut pertimbangan mahkamah.

 

TNB dalam writ saman itu turut menuntut ganti rugi ekonomi yang akan dinilai oleh Mahkamah berserta faedah 5% setahun untuk dikira dari tarikh pemfailan Tuntutan sehingga tarikh penyelesaian penuh.

 

"Sebagai latar belakang, TNB telah, pada 13 Julai 2015, menganugerahkan kepada Kumpulan Ikram sebuah projek yang dikenali sebagai “Pembinaan Dan Pengoperasian Kolam Takungan Di Stesen Janakuasa Gelugor” (Projek). 

 

"Didakwa semasa pelaksanaan Projek tersebut, Kumpulan Ikram dan/atau sub-kontraktornya dan/atau ejennya telah melanggar kabel bawah tanah milik TNB. Akibat daripada itu, TNB telah mengalami kerugian dan kerosakan," jelasnya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia empat tahun lalu itu. - DagangNews.com