Sumbangan ceria ke sekolah TNB penuhi keperluan golongan sasar | DagangNews Skip to main content

Sumbangan ceria ke sekolah TNB penuhi keperluan golongan sasar

Megat Mohd Rafiezi Megat Mohd Rodzi (dua dari kiri) memakaikan beg sekolah kepada seorang pelajar pada majlis penyampaian sumbangan `Ceria Ke Sekolah TNB' di Dewan Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini. Turut hadir Datuk Hashim Jahaya (kanan).

 

KUALA LUMPUR 10 Mei – Tanpa gagal sejak lapan tahun lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus menceriakan anak-anak sekolah dengan sumbangan pelbagai peralatan persekolahan menerusi Program ‘Ceria Ke Sekolah’.

 

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TNB itu, sebelum ini dikenali sebagai ‘Back To School’ yang menyasarkan bantuan untuk golongan B40 di seluruh negara.

 

Untuk tahun 2021, TNB telah memperuntukkan sejumlah RM3 juta untuk disalurkan kepada golongan sasar tersebut yang disampaikan kepada pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

 

Kira-kira 30,000 anak-anak sekolah kumpulan B40 telah mendapat manfaat menerusi program CSR itu.

 

Terbaru, sumbangan peralatan persekolahan itu disampaikan kepada 100 anak-anak sekolah di kawasan sekitar Parlimen Kuala Kedah yang disampaikan oleh Pegawai Khas kepada Pengerusi TNB, Megat Mohd Rafiezi Megat Mohd Rodzi di Dewan Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

 

Turut hadir pada majlis itu ialah Datuk Hashim Jahaya iaitu Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.

 

Menurut Megat Mohd Rafiezi, sumbangan yang diberikan itu menunjukkan bantuan Ceria Ke Sekolah TNB, sampai ke golongan sasar dan sememangnya dinantikan oleh anak-anak sekolah kumpulan B40 terbabit.

 

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa, setiap peruntukan yang disalurkan oleh TNB menerusi program CSR Ceria Ke Sekolah itu, sampai ke tangan golongan sasar. Saya sendiri selaku Pegawai Khas kepada Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid, turun padang menyampaikan sumbangan ini untuk dimanfaatkan oleh golongan sasar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

TNB
Megat Mohd Rafiezi Megat Mohd Rodzi (dua dari kiri) dan Hashim Jahaya (kanan) menyampaikan beg sekolah kepada seorang pelajar pada majlis penyampaian sumbangan `Ceria Ke Sekolah TNB' di Dewan Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

 

Walau bagaimanapun katanya, daripada segi tempoh masa agihan sumbangan tahun ini mengalami sedikit kelewatan berikutan kekangan pergerakan rentas negeri dan daerah yang dikuatkuasakan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara.

 

“Saya fikir semua pihak memahami situasi kelewatan agihan sumbangan tersebut memandangkan kita dibatasi dengan COVID-19 yang menyebabkan semua pihak terjejas. Namun demikian, kita telah cuba sedaya upaya menyelesaikan agihan sumbangan CSR Ceria Ke Sekolah itu pada awal bulan April lalu," katanya.

 

Selain peralatan persekolahan, turut diberikan kit ‘Anti-COVID-19’ yang mengandungi pelitup muka dan cecair sanitasi tangan, sesuai dengan situasi semasa pandemik COVID-19 yang masih berleluasa.

 

Untuk sumbangan Ceria Ke Sekolah bagi tahun hadapan, TNB juga bercadang untuk menyampaikannya kepada anak-anak kakitangan TNB sendiri sebagai satu bentuk penghargaan kepada kakitangan-kakitangan TNB.

 

Cadangan pemberian untuk anak-anak kakitangan TNB itu diutarakan oleh Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid sendiri dalam satu majlis penyerahan sumbangan Ceria Ke Sekolah Peringkat Ibu Pejabat TNB baru-baru ini. - DagangNews.com