Sunview, Vision Ambassadors jalin kerjasama teroka prospek tenaga boleh diperbaharui | DagangNews Skip to main content

Sunview, Vision Ambassadors jalin kerjasama teroka prospek tenaga boleh diperbaharui

(Dari kiri barisan hadapan) Ketua Pegawai Kewangan Sunview, Tracey Ooi, HP Ong, Pengerusi dan CEO Vision Ambassadors, Dr Ghazi Felemban; Rakan Pengasas dan Vision Ambassadors, Osama Kokandy. Turut kelihatan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian ASEAN, Datuk Sohaimi Shahadan (kiri) dan Naib Pengerusi Vision Ambassadors, Naser Alhotami (kanan).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Jan - Anak syarikat milik penuh Sunview Group Bhd, Fabulous Sunview Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Vision Ambassadors Company For International Trade Consultancy, LCC (Vision Ambassadors) yang berpangkalan di Arab Saudi.

 

Di bawah MoU itu, kedua-dua pihak akan menumpukan usaha mencari peluang pembangunan dan pelaburan berhubung dengan tenaga boleh diperbaharui dan/atau tenaga hijau. 

 

Kerjasama itu akan bersama-sama mengenal pasti lokasi projek yang berpotensi, dengan kedua-dua pihak bertindak sebagai pelabur utama.

 

Sunview secara eksklusif akan bertanggungjawab ke atas tugas berkaitan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek yang berpotensi.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sunview, HP Ong berkata, pihaknya sangat teruja untuk bekerjasama dengan Vision Ambassadors. 

 

"Kami bukan sahaja akan meneroka peluang dalam Malaysia tetapi juga merentasi rantau lain, termasuk Arab Saudi, Timur Tengah, Afrika serta Asia Tenggara. Usaha ini bertujuan untuk memperluaskan jejak geografi kami melangkaui pasaran Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Katanya, selaras dengan usaha global untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih, tenaga boleh diperbaharui memainkan peranan penting dalam merealisasikan objektif bercita-cita tinggi itu.

 

"Memandangkan permintaan yang berterusan untuk tenaga boleh diperbaharui, kami optimis MoU ini akan membuahkan hasil yang memberangsangkan pada masa hadapan,” tambahnya. - DagangNews.com