Sunway REIT ambil alih pusat beli-belah 163 Retail Park pada harga RM215 juta | DagangNews Skip to main content

Sunway REIT ambil alih pusat beli-belah 163 Retail Park pada harga RM215 juta

Pusat beli-belah 163 Retail Park terletak di Jalan Mont Kiara, Kuala Lumpur.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 30 Jan - Sunway REIT menerusi RHB Trustees Berhad memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersyarat bersama D' Kiara Place Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh YNH Property Bhd bagi cadangan pengambilalihan pusat beli-belah 163 Retail Park, di sini pada harga RM215 juta.

 

Hartanah ini terletak di tengah-tengah kawasan kediaman Mont Kiara atau 11 kilometer dari pusat bandar raya Kuala Lumpur dan mudah diakses melalui beberapa lebuh raya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn. Bhd. Clement Chen berkata, pihaknya gembira dengan pengambilalihan 163 Retail Park yang merupakan aset peruncitan terbaik di kawasan kejiranan Mont Kiara. 

 

Katanya, walaupun persaingan semakin meningkat di Lembah Klang, namun 163 Retail Park memenuhi keperluan bagi pasaran khusus dan mampu berdaya tahan kerana diyakini kurang terjejas dengan pembukaan pusat beli-belah baharu.

 

"Kami menjangkakan hasil awal Pendapatan Hartanah Bersih (NPI) sebanyak 6.5% yang akan meningkatkan hasil kepada portfolio Sunway REIT. 

 

"Terletak di kawasan yang didiami warga tempatan dan ekspatriat, ditambah pula dengan jenama dan rekod prestasi kami yang kukuh dalam pengurusan pusat beli-belah, kami percaya 163 Retail Park boleh dipertingkatkan lagi sebagai hab gaya hidup premium,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Menurut Sunway Reit, cadangan pengambilalihan akan dibiayai sepenuhnya oleh kemudahan hutang sedia ada Sunway REIT dan disasarkan untuk diselesaikan menjelang suku kedua 2024.

 

"Setelah selesai cadangan pengambilalihan, aset di bawah pengurusan Sunway REIT akan meningkat kepada RM9.1 bilion, mengekalkan kedudukannya sebagai REIT tersenarai kedua terbesar di Malaysia," katanya.

 

163 Retail Park merupakan pusat beli-belah  tujuh tingkat yang mempunyai keluasan lantai kira-kira 76,146 meter persegi serta mempunyai 1,085 tempat letak kereta.

 

Hartanah itu mempunyai lebih 100 penyewa terdiri daripada pelbagai jenis perniagaan termasuk premis makanan, gaya hidup, kesihatan dan kecantikan serta hiburan dan panggung wayang.

 

Jaya Grocer merupakan penyewa utama pusat beli-belah itu yang merupakan sebahagian daripada komponen penting projek pembangunan Kiara 163. - DagangNews.com