Sunway REIT, HSBC laksana swap mata wang bersilang berkaitan kemampanan sulung bernilai RM200 juta | DagangNews Skip to main content

Sunway REIT, HSBC laksana swap mata wang bersilang berkaitan kemampanan sulung bernilai RM200 juta

(Dari kiri) Ketua Perkhidmatan Pasaran dan Sekuriti HSBC Malaysia, Alvin Kong; Christina Cheah; Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Datuk Omar Siddiq; Datuk Jeffrey Ng; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT, Clement Chen; dan Ketua Pegawai Kewangan Sunway REIT, Ng Bee Lien,
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jun - Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) telah bekerjasama dengan HSBC untuk melaksanakan swap mata wang bersilang (CCS) berkaitan kemampanan sulungnya bernilai RM200 juta di Malaysia.

 

Menurut satu kenyataan media bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata CCS tersebut melindungi kedua-dua mata wang dan risiko kadar faedah pinjaman mata wang asing Sunway REIT dengan HSBC, serta menawarkan insentif berkaitan kemampanan secara langsung.

 

Tambahnya, terma ekonomi CCS dikaitkan secara langsung kepada dua sasaran prestasi kemampanan khusus yang selaras dengan komitmen Sunway REIT untuk mengurus kesan alam sekitar.

 

“Ini termasuk jumlah tenaga boleh diperbaharui dalam MWh (megawatt-jam) dijana oleh semua sistem solar fotovoltaik dalam hartanah Sunway REIT dan purata wajaran keamatan tenaga bangunan diukur dalam kWh (kilowatt-jam) setiap meter persegi keluasan kasar lantai bangunan setahun,” katanya.

 

Ketua Perbankan Global HSBC Malaysia, Christina Cheah berkata industri REIT telah meningkatkan tumpuannya untuk menjadi lebih mampan, terutamanya apabila pelabur menekankan isu alam sekitar, sosial dan tadbir (ESG), justeru mempercepatkan keperluan untuk mengubah sifat modal dan hala tujunya dengan secara mampan untuk sektor ini.

 

“Dengan menambat CCS kepada sasaran prestasi kemampanan khusus, kami telah mencipta struktur tersuai yang merangkumi insentif langsung dan boleh diukur untuk pelanggan mencapai cita-cita kemampanannya. Produk itu menandakan langkah selanjutnya dalam pembangunan pasaran kewangan Malaysia yang mampan dan dalam cita-cita Sunway REIT untuk memenuhi matlamat ESG," ujar beliau.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Ng berkata CCS tersebut membolehkan pengurusan menukar lebih daripada 90% pinjaman Sunway REIT kepada kewangan mampan.

 

“Terutamanya, hasil progresif memastikan impak alam sekitar yang positif sambil memberi insentif kepada Sunway REIT dengan kos pembiayaan lebih rendah,” tambahnya.

 

Sunway REIT dan HSBC berkata syarikat REIT berada dalam kedudukan yang unik untuk menangani cabaran dan risiko perubahan iklim, di mana menurut statistik dipetik Forbes, hampir 40% daripada pelepasan karbon dioksida global datang daripada sektor hartanah.

 

Sunway REIT telah berjanji untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, sejajar dengan komitmen kerajaan untuk menjadi neutral karbon menjelang 2050.

 

Bagi merealisasikan cita-cita ini, Sunway REIT telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan separuh pelepasan menjelang 2030 dengan memberi tumpuan kepada pengurangan sisa pelepasan sebanyak 45% melalui kecekapan tenaga yang dipertingkatkan dan menggunakan penggantian tenaga.

 

Sunway REIT juga menyasarkan semua penyewa menyertai Program Perkongsian Pajakan Hijau menjelang 2030.

 

Pada waktu rehat, saham Sunway REIT susut 1 sen atau 0.6% kepada RM1.57 dengan modal pasaran berjumlah RM5.38 bilion.  - DagangNews.com