Suruhanjaya Sekuriti anjur program hackathon untuk perluas saluran bakat fintech Islam | DagangNews Skip to main content

Suruhanjaya Sekuriti anjur program hackathon untuk perluas saluran bakat fintech Islam

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Sains Komputer Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Varsity Hackathon (VHACK) dari 27 Februari hingga 20 April 2024.

 

SC memaklumkan, VHACK1 bertujuan mengembangkan saluran bakat teknologi kewangan (fintech), merangsang kreativiti dan pemikiran kritis pelajar serta membangunkan kemahiran digital dalam kalangan pelajar dan golongan profesional muda, khususnya dalam bidang fintech Islam.

 

Katanya, inisiatif FIKRA Excel SC, salah satu komponen utama FIKRA ACE2 bermatlamat untuk memupuk pembangunan bakat dan inovasi dalam pasaran modal Islam dan fintech Islam melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi.

 

"VHACK edisi 2024 akan dijalankan secara hibrid. Pasukan yang terdiri daripada satu hingga empat orang ahli akan menghadiri bengkel secara maya yang disampaikan oleh pakar dalam industri. Hari 'pitching' terakhir akan diadakan di USM pada 20 April, dan para pemenang akan dipilih oleh panel hakim," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Tambah kenyataan itu, mahasiswa tempatan dan antarabangsa, terutamanya golongan muda yang meminati bidang fintech, digalakkan mendaftar mulai hari ini hingga 17 Mac 2024 di https://vhackusm.com/register.

 

Sebarang maklumat lanjut tentang FIKRA ACE - Excel dan VHACK, sila layari https://www.sc.com.my/fikra-ace/excel. Untuk pertanyaan, sila salurkan ke fikraace@seccom.com.my. - DagangNews.com