Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Dis - Tawaran awam permulaan (IPO) syarikat perkhidmatan logistik Swift Haulage Bhd. (Swift) dijangka mengumpul kira-kira RM161.8 juta daripada terbitan 157.1 juta saham baharunya.
Menurut Public Investment Bank, sebahagian besar daripada hasil adalah untuk perbelanjaan modal dan pembayaran balik pinjaman, menggunakan 50.7% dan 43.1% daripada hasil masing-masing.
Firma penganalisis itu turut meletakkan nilai saksama saham Swift pada RM1.16 sesaham.
"Pertumbuhan Swift akan bergantung kepada kejayaan pelaksanaan strategi perniagaan dan rancangan masa depannya yang memerlukan pembinaan gudang baharu, pembelian tanah, pemerolehan syarikat logistik rantaian sejuk, dan pengembangan kenderaan.
"Sementara itu kekuatan daya saing Swift termasuk liputan komprehensif pelabuhan laut utama di Semenanjung Malaysia untuk pengangkutan kontena, kemampuan menyediakan penyelesaian logistik sehenti yang mudah, memiliki dan mengendalikan kumpulan kenderaan komersialnya yang membolehkan kawalan dan penyesuaian untuk memenuhi keperluan pelanggan," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Swift terlibat dalam penyediaan perkhidmatan logistik bersepadu yang terdiri daripada pengangkutan kontena, pengangkutan darat, pergudangan dan perkhidmatan agensi penghantaran barang.
Hab logistik bersepadu dan ibu pejabat kumpulan itu terletak di Malaysia, manakala operasinya di Thailand tertumpu pada pengangkutan rentas sempadan dan penghantaran barang.
Operasi logistik bersepadunya disokong oleh operasi kenderaanya di Malaysia dan Thailand termasuk 1,546 penggerak utama, 5,518 treler kontena, 811 kotak atau treler sisi tirai, 53 trak dan 42 kapal tangki CNG.
Kumpulan itu mengendalikan gudang dengan jumlah kapasiti penyimpanan 849,371 kaki persegi dan depoh kontena dengan jumlah kapasiti 28,500 TEU.
Tambah Public Investment, pertumbuhan pesat dalam segmen e-dagang serta penggunaan teknologi menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan Swift pada masa akan datang. -DagangNews.com