Swimlane tubuh pusat serantau di Kuala Lumpur kukuhkan ekosistem siber Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

Swimlane tubuh pusat serantau di Kuala Lumpur kukuhkan ekosistem siber Asia Pasifik

KUALA LUMPUR 6 Mei - Syarikat keselamatan siber dan awan berpangkalan di Colorado, Amerika Syarikat (AS), Swimlane memilih Kuala Lumpur untuk dijadikan pusat serantaunya sebagai usaha strategiknya bersama CyberSecurity Malaysia dalam mengukuhkan ekosistem siber. 

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Strategi Swimlane, Cody Cornell berkata, pemilihan itu dibuat berdasarkan kekuatan ekonomi Malaysia dan ia turut dilengkapi prasarana bertaraf dunia, rakan strategik yang berpengalaman serta mewujudkan tenaga kerja mahir dalam pelbagai bahasa.

 

Katanya, Malaysia turut menyediakan peluang perniagaan yang besar, terutama bagi firma global yang ingin memperkenalkan penyelesaian ke Asia Pasifik.

 

"Setiap syarikat adalah firma teknologi. Soal keselamatan memberi kesan yang amat besar kepada perniagaan dan keuntungan, menjadikan keselamatan siber satu faktor penting.

 

"Pengembangan ke Asia Pasifik bermatlamat untuk menggunakan teknologi kami dan membolehkan sesiapa sahaja daripada mana-mana organisasi untuk sama-sama menyumbang pengetahuan dan kepakaran ke arah perlindungan, di samping mengurangkan kerja dan kos pemilikan dalam mencapai matlamat keselamatan yang sebelum ini dianggap mustahil," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahab berkata, kerjasama strategik dengan Swimlane akan membantu mengukuhkan dan meluaskan visi keselamatan siber strategik di rantau ini.

 

Beliau berkata, Swimlane dan Cybersecurity Malaysia akan menyumbangkan pengetahuan, kepakaran, kebolehan serta produk masing-masing bagi menawarkan penyelesaian keselamatan siber inovatif di Malaysia dan negara serantau.

 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik ini, Swimlane dan CyberSecurity Malaysia mengenal pasti tiga inisiatif utama iaitu memacu kesedaran mengenai cara automasi operasi keselamatan, pembangunan kemahiran dalam negara serta pengenalan teknologi untuk membantu rakan kongsi sedia ada dan baharu.

 

"Sebagai pusat keselamatan siber dan teknikal negara, CyberSecurity Malaysia mengalu-alukan kerjasama seperti ini kerana ia turut akan membawa teknologi maju, kebolehan dan kapasiti kepada Malaysia dalam memastikan persekitaran siber kita kukuh, selamat dan boleh dipercayai," katanya. - DagangNews.com