Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
Antara fakta menarik ketika Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen 2020 Sabtu lalu, ia menunjukkan hanya 1.12 juta atau 7.5% daripada keseluruhan pencarum memilih simpanan syariah berbanding konvensional.
Jumlah ini secara dasarnya masih rendah walaupun simpanan syariah mula diperkenalkan sejak 2016.
Pada 2019, ia memberi pulangan dividen sebanyak 5% melibatkan agihan berjumlah RMRM4.14 bilion berbanding tahun ini, 4.9% dengan agihan berjumlah RM4.76 bilion.
Secara keseluruhan, dividen 2020 bagi simpanan konvensional adalah 5.2% melibatkan agihan sebanyak RM42.88 bilion menjadikan keseluruhan agihan bagi dividen tahun lalu berjumlah RM47.64 bilion.
Dengan purata 5 tahun dividen sebenar pada kadar 4.62% untuk konvensional dan 4.32% bagi syariah selepas diselaraskan untuk inflasi, KWSP telah melebihi sasaran strategik dengan pengisytiharan purata dividen sebenar tidak kurang daripada 2% dalam tempoh 5 tahun berturut-turut.
KWSP pada tahun lalu mencatatkan pendapatan pelaburan kasar tertinggi sebanyak RM60.98 bilion, yang mana RM6.15 bilion diperuntukkan untuk simpanan syariah.
Minggu lalu, KWSP mengumumkan, dana itu merupakan pelabur institusi pertama mewujudkan mandat pelaburan langsung/bersama Ekuiti Persendirian patuh syariah terbesar di dunia, dengan pelancaran Akaun Terurus Berasingan, bernilai AS$600 juta.
Sudah tentu, ini adalah berita baik untuk dana simpanan syariah KWSP, yang mana baki simpanan ahli telah melepasi nilai RM100 bilion dan terus berkembang secara berterusan.
Bagaimanapun, di sebalik kemampuan KWSP mengharungi krisis pandemik COVID-19 sepanjang tahun lalu dengan pelaburannya yang berdaya mapan, dana persaraan itu perlu melakukan sesuatu pada masa hadapan bagi memastikan simpanan syariahnya mampu memberi pulangan lebih baik untuk pencarum.
Pencarum kurang kesedaran
Secara dasarnya, pelaksanaan simpanan syariah ini bertujuan memastikan pihak kerajaan melaksanakan tanggungjawab sosial untuk memberikan pilihan kepada rakyat yang mahukan pelaburan mereka dibuat mengikut prinsip syariah.
Bercakap kepada DagangNews.com, Penasihat Kewangan Islam, Dr Razli Ramli berkata, meskipun pilihan menukar ke simpanan syariah bukannya mandatori tetapi jika ramai orang Islam masih belum mempunyai kesedaran, perkara ini sesuatu yang membimbangkan.
"Jika dilihat dari sudut ekonomi, kemungkinan peratusan dividen dalam simpanan konvensional yang lebih tinggi daripada syariah menjadi penyebab kenapa para pencarum termasuk yang beragama Islam masih tegar dengan simpanan konvensional," katanya.
Menurutnya, sekiranya dibuat perkiraan untuk membanci jumlah dividen yang patuh syariah daripada jumlah dividen simpanan konvensional, jumlah peratusan dividen patuh syariah bagi akaun konvensional jauh lebih rendah daripada dividen syariah.
"Untuk makluman, 69% daripada pelaburan yang dilaksana oleh KWSP dalam konvensional adalah pelaburan yang tidak patuh syariah.
"Oleh demikian, hanya 31% sahaja jumlah dividen yang diterima pencarum bagi simpanan konvensional yang diterima sebagai patuh syariah. Yang selebihnya perlu disalurkan kepada Baitulmal atau mana-mana badan kebajikan," katanya.
Dari sudut sosial pula, beliau berkata, pengetahuan tentang terdapatnya 2 akaun berbeza di KWSP ini dalam kalangan rakyat mungkin masih jauh daripada yang digembar-gemburkan sebelum ini.
"Kemungkinan masih terdapat ramai pencarum yang masih tidak tahu kewujudan akaun syariah ini atau sememangnya mereka tidak mahu ambil kisah," ujarnya.
Beliau memberitahu, pertukaran ke akaun syariah sebenarnya boleh dibuat secara dalam talian sahaja, tanpa perlu hadir ke mana-mana cawangan KWSP.
"Peranan pihak kerajaan serta pemegang taruh untuk meningkatkan kesedaran mengenai akaun simpanan syariah ini perlu diperhebatkan lagi," tegasnya.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berpendapat, dari segi memilih pelaburan yang lebih menguntungkan, hakikatnya para pencarum mempunyai pilihan untuk mengeluarkan wang KWSP dalam Akaun 1 untuk dilaburkan dalam unit amanah swasta.
"Dan ini merupakan skim pengeluaran yang telah lama diperkenalkan oleh KWSP.
"Cuma para pencarum perlu membuat kaji selidik saham-saham amanah yg ditawarkan kerana banyak persaingan dan pilihan di luar sana," jelas beliau.
Kenapa konvensional lagi tinggi?
Dengan melihat kepada keseluruhan pelaburan KWSP, asetnya meningkat 7.9% kepada RM998 bilion, dengan nilai pasaran mencecah RM1.02 trilion pada hujung tahun lalu.
Jumlah ahli KWSP turut meningkat sebanyak 2% kepada 14.89 juta, sementara majikan yang berdaftar dengan KWSP adalah sebanyak 534,398.
KWSP kini memerlukan RM8.25 bilion untuk membayar setiap 1% dividen untuk simpanan konvensional dan RM972 juta untuk membayar setiap 1% dividen untuk syariah bagi 2020.
Apa yang menjadikan pelaburan KWSP lebih berdaya mapan di sebalik krisis kesihatan global tahun lalu, adalah pendekatan berhemah dana itu berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA).
Berdasarkan kelas aset, instrumen pendapatan tetap merangkumi 46% daripada pelaburan, manakala ekuiti sebanyak 42%.
Segmen hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang pula, masing-masing merangkumi 5% dan 7% daripada pelaburan.
Mengulas mengenai pelaburan KWSP ini, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelaburan syariah masih ada potensi dan menarik jika KWSP memberi fokus kepada pelaburan berteraskan teknologi terkini dan hab halal.
Selain itu, katanya, KWSP juga boleh meneroka pelaburan ke atas syarikat permulaan (start-up) yang patuh syariah.
"Dengan meneliti portfolio pelaburan KWSP, ia masih lagi menumpukan kepada pelaburan simpanan tetap.
"Tetapi, jika KWSP mengurangkan pelaburan simpanan tetap dan berani melabur lebih kepada ekuiti, hartanah dan infrastruktur yang patuh syariah, pulangan atas syariah akan lebih tinggi," katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, ia agak mengambil masa tertentu kerana penukaran struktur pelaburan ke arah lebih patuh syariah tidak boleh dibuat tergesa-gesa bagi mengelakkan risiko salah pelaburan.
Beliau menjelaskan, KWSP merupakan pemegang saham terbesar dalam sebuah bank tempatan dan pemegang saham kedua terbesar dalam 7 bank tempatan yang tersenarai di Bursa Malaysia.
"Bank sentiasa mencatatkan keuntungan yang tinggi dan ini merupakan faktor utama mengapa pulangan di bawah konvensional sentiasa tinggi daripada syariah.
"Mungkin sukar untuk KWSP beralih ke syariah sepenuhnya kerana ada sektor tempatan yang masih bergantung kepada pelaburan oleh KWSP seperti sektor perbankan," jelasnya.
Ahmed Razman berkata, jika KWSP menarik diri daripada pelaburan ke atas sektor perbankan, ia akan memberi impak negatif yang besar kepada ekonomi negara.
"Dalam hal ini, mungkin KWSP akan menumpukan kepada sektor-sektor lain yang patuh syariah tetapi masih kekal melabur dalam sektor perbankan," tambah beliau.
Prospek 2021
Kerajaan setakat ini mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang antara 6.5 hingga 7.5% tahun ini, setelah menguncup -5.6% pada tahun lalu akibat pandemik COVID-19 dan terburuk sejak 1998.
Selain vaksin COVID-19 yang diharapkan menjadi sinar kepada pemulihan ekonomi global, badan-badan dunia optimis kedudukan ekonomi akan berada di landasan pemulihan.
Menurut laporan Prospek Ekonomi Dunia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa, KDNK global pada tahun ini diunjur kembali pulih pada kadar 5.5% manakala perdagangan dunia turut diunjur kembali berkembang pada kadar 8.1%.
Sejajar dengan pemulihan aktiviti ekonomi dan perdagangan dunia, ekonomi negara turut dijangka kembali pulih pada 2021.
Malaysia kini dalam peringkat awal pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula 24 Februari lalu.
Namun, bagi KWSP, meskipun pemberian vaksin telah dilancarkan tahun ini, tetapi dana itu tetap mengambil langkah berjaga-jaga kerana terdapatnya mutasi COVID-19 yang baharu dan lebih mudah merebak.
Apatah lagi, dengan melihat kepada pelaburan KWSP, sebanyak 33% berada di luar negara setakat 31 Disember 2020.
Pelaburan ini merangkumi pelbagai kelas aset, seperti ekuiti, khususnya ekuiti asing yang terus menjadi pemacu pulangan pendapatan pelaburan sebanyak RM28.71 bilion manakala portfolio ekuiti persendirian menunjukkan prestasi kukuh dengan agihan yang konsisten.
Walaupun indeks-indeks saham utama mengalami kerugian sebanyak 40% pada suku pertama 2020, KWSP mengambil peluang bagi mengimbangi portfolio dengan membeli aset yang kukuh pada harga berpatutan.
Pemulihan pada separuh kedua berikutan pasaran domestik dan global yang kian baik turut menyumbang kepada portfolio pelaburan KWSP. Ini memberi peluang kepada KWSP untuk meraih keuntungan, terutama pada suku keempat 2020.
Melihat kepada indikator ini semua, apa yang kita boleh harapkan bagi tahun ini? Adakah prospek bertambah baik terutama dengan pengeluaran i-Sinar bagi membantu rakyat yang terjejas akibat COVID-19.
Mohd. Afzanizam berkata, seiring dengan jangkaan pemulihan ekonomi, dividen KWSP juga diunjurkan lebih baik tahun ini.
"Melihat kepada harga-harga saham di pasaran terutamanya di Amerika Syarikat (AS), ia terus mencatatkan paras tertinggi.
"Jadi, memandangkan KWSP mempunyai pendedahan di dalam pasaran global, ia seharusnya dapat memberi manfaat kepada prestasi pelaburan dan dividen yang bakal diumumkan nanti," katanya.
Dalam pada itu, Ahmed Razman pula berpendapat, dividen 2021 dijangka lebih tinggi dari 2020 atas faktor ekonomi semakin pulih apabila program vaksinasi dilaksanakan.
Jelasnya, walaupun i-Sinar akan menyebabkan banyak pengeluaran, dijangka KWSP akan berterusan menerima caruman yang lebih tinggi tahun ini dan mampu menampung jumlah pengeluaran di bawah i-Sinar.
Beliau menyifatkan, pencapaian dividen 2020 adalah memuaskan kerana pendapatan kasar RM60 billion adalah tertinggi dalam sejarah dan buat pertama kali, dividen KWSP lebih tinggi daripada Amanah Saham Bumiputera yang mengagihkan dividen 4.25 sen seunit.
Data KWSP menunjukkan sehingga kini, sebanyak RM18.1 bilion telah dikeluarkan oleh 5.16 juta ahli di bawah kemudahan i-Lestari.
Untuk i-Sinar pula, KWSP meluluskan 2.5 juta permohonan daripada jumlah keseluruhan sebanyak 3.88 juta, sejak permohonan di bawah Kategori 1 dibuka bermula 21 Disember 2020.
Jumlah pengeluaran yang diluluskan adalah sebanyak RM19.62 bilion, dengan pembayaran bulan pertama berjumlah RM10.07 bilion, yang telah dibuat secara berperingkat bermula 5 Januari lalu.
Kerajaan menganggarkan keseluruhan pengeluaran i-Sinar berjumlah RM70 bilion. - DagangNews.com