Syarikat fintech, MoneyMatch antara penerima lesen perbankan digital | DagangNews Skip to main content

Syarikat fintech, MoneyMatch antara penerima lesen perbankan digital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Mei - Syarikat fintech, MoneyMatch mengumumkan bahawa mereka merupakan antara penerima lesen perbankan digital di Malaysia di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) yang tertakluk bagi memenuhi syarat kawal selia Bank Negara Malaysia.

 

Mereka juga merupakan sebahagian daripada peserta konsortium 100% milik tempatan yang diterajui KAF Investment Bank Berhad.

 

Sebagai ahli kohort pertama Sandbox pendekatan kawal selia Bank Negara Malaysia 2017, MoneyMatch merupakan pelopor penggunaan penyelesaian Mengenal Pelanggan Secara Elektronik (electronic-Know Your Customer, eKYC) dalam ruang pembayaran rentas sempada.

 

MoneyMatch telah berjaya dalam transaksi rentas sempadan melalui teknologi blockchain serta berkembang kepada beberapa lesen pembayaran di luar negara termasuk Brunei dan Australia. 

 

Kini, MoneyMatch terlibat secara aktif dalam menyumbangkan pengalaman, infrastruktur dan sumber mereka untuk membina salah satu bank digital Islam yang pertama di Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MoneyMatch, Adrian Yap menucapkan terima kasih kepada KAF kerana mempunyai visi untuk menerajui konsortium dan membantu mereka dalam mendepani persaingan.

 

money

 

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Bank Negara Malaysia kerana memberi peluang kepada kami untuk memberi perkhidmatan yang lebih efektif kepada rakyat dan perniagaan Malaysia dengan tawaran inovatif kami. 

 

"Secara keseluruhan, kami percaya konsortium ini mempunyai kemahiran yang sesuai untuk memberikan perkhidmatan kepada segmen perusahan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang kurang mendapat perhatian sebelum ini," katanya.

 

Dalam pada itu, Pengasas Bersama MoneyMatch, Naysan Munusamy berkata, perbankan digital adalah masa depan Malaysia dan pihaknya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada kumpulan pertama yang membawa pembaharuan dalam perkhidmatan kewangan.

 

Pada Julai 2021, MoneyMatch dilaporkan sudah memehon lesen perbankan digital selepas penutupan pusingan pengumpulan dana Siri A bernilai RM18.5 juta dan selaras dengan kejayaan lesen perbankan digital itu, mereka merancang untuk melancarkan pengumpulan dana Siri B.

 

MoneyMatch merancang untuk meningkatkan pelaburan dalam teknologi terkini, infrastruktur kewangan dan usaha pembangunan perniagaan ke negara baharu di rantau ini menjelang tahun hadapan. - DagangNews.com