Syarikat penerbangan di Malaysia dijangka perkenal levi karbon seawal April 2024 | DagangNews Skip to main content

Syarikat penerbangan di Malaysia dijangka perkenal levi karbon seawal April 2024

KUALA LUMPUR 4 Mac - Syarikat penerbangan di Malaysia dijangka memperkenalkan levi karbon kepada penumpang seawal April 2024.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beberapa pindaan kepada Peraturan Tatakelakuan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkaitan perlindungan pengguna perlu dibuat sebelum syarikat penerbangan boleh mengutip levi.

 

"Kod itu akan dipinda menjelang April tahun ini. Sebaik sahaja Mavcom memuktamadkan pindaan kod kelakuan perlindungan pengguna yang terpulang kepada syarikat penerbangan apabila mereka merancang untuk mula mengutip levi karbon.

 

"Tetapi sudah tentu mereka (syarikat penerbangan) perlu mempunyai mekanisme yang sangat telus bagi menunjukkan bagaimana mereka membelanjakan levi itu," katanya sambil menambah bahawa levi itu bukan cukai yang dikenakan oleh kerajaan.

 

Beliau bercakap kepada media selepas mengumumkan tambang tetap promosi Hari Raya AirAsia Bhd dari Semenanjung Malaysia ke Malaysia Timur.

 

Beliau juga berkata, sebaik levi karbon syarikat penerbangan diperkenalkan, terpulang kepada syarikat penerbangan tempatan untuk mengenakan bayaran kepada penumpang mereka.

 

"Dasar kami berbeza daripada Singapura. Singapura mewajibkannya. Kami (Malaysia) menjadikannya pilihan," katanya, mengulas keputusan Singapura baru-baru ini yang mewajibkan syarikat penerbangan yang berlepas dari negara itu menggunakan sekurang-kurangnya 1% bahan api penerbangan mampan (SAF). 

 

Singapura juga akan memperkenalkan levi SAF kepada syarikat penerbangan dan pengembara bagi pembelian bahan api penerbangan alternatif itu.

 

Levi adalah berdasarkan pelbagai faktor termasuk jarak perjalanan dan kelas perjalanan.

 

Anthony juga berkata, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MoF) bagi mengekalkan 6% cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi destinasi domestik.

 

"SST terpakai untuk tiket penerbangan. SST terpakai untuk tiket penerbangan.Saya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan minggu ini untuk melihat sama ada kita boleh mengekalkan SST pada 6% untuk perjalanan domestik," katanya. - DagangNews.com