Syarikat solar muncul penerima manfaat utama daripada pelaksanaan NETR - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Syarikat solar muncul penerima manfaat utama daripada pelaksanaan NETR - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - AmInvestment Bank Research (AmInvestment) mengunjurkan syarikat-syarikat yang terlibat dengan perniagaan solar akan menjadi penerima manfaat daripada pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).

 

Firma itu berkata, menerusi pelaksanaan NETR, kerajaan merancang untuk memasang solar bumbung ke atas semua bangunan milik kerajaan di seluruh negara.

 

Katanya, isi rumah di perbandaran baharu akan berpeluang untuk mendapatkan solar bumbung tetapi ia memerlukan penyertaan pemaju hartanah.

 

"Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai operasi solar terbesar dalam kalangan syarikat dalam liputan kami.

 

"Anak syarikat TNB, GSparx menyasarkan untuk mendapatkan kontrak bernilai 145MWp dan pada masa sama menjangkakan hasil RM70 juta pada FY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: 5 projek berimpak tinggi akan dibangunkan menerusi NETR Fasa 1 - Rafizi

 

NTER Fasa 1 menggariskan 10 pemangkin perdana dan kecekapan inisiatif peralihan tenaga termasuk kecekapan tenaga (EE), tenaga boleh diperbaharui (RE), hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau, dan pemerolehan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

 

Ia disokong oleh lima perkara iaitu tadbir urus, dasar dan peraturan, kewangan dan pelaburan, modal insan dan keupayaan serta teknologi dan infrastruktur.

 

Firma itu berkata, Sime Darby Property Berhad akan melaksanakan pembinaan kapasiti solar 4.5MW di 450 rumah di Elmina City dan Bandar Bukit Raja.

 

Katanya, sehingga 10kW kapasiti suria bagi setiap rumah akan disewakan dengan off-takers menjadi pengguna permintaan tinggi dari sektor komersial atau perindustrian.

 

"Pasaran bagi sistem suria atas bumbung di Malaysia ialah 332GW secara keseluruhan," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' untuk TNB (FV: RM11.80), Mega First (FV: RM3.60) dan YTL Power (FV:RM1.50). - DagangNews.com