Syarikat usaha sama Pestech, Sky High raih kontrak RM110 juta bina pencawang daripada Sesco | DagangNews Skip to main content

Syarikat usaha sama Pestech, Sky High raih kontrak RM110 juta bina pencawang daripada Sesco

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Dis - Pestech International Berhad, melalui usaha sama anak syarikatnya Pestech Sdn Bhd dengan Sky High Construction Sdn Bhd (PSB), telah menerima kontrak bernilai RM109.98 juta bagi projek Pencawang Entinggan daripada syarikat utiliti elektrik Sarawak, Sesco Berhad.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata kontrak reka bentuk dan pembinaan pencawang tersebut akan bermula pada 26 Disember 2024 dan disiapkan dalam tempoh 23 bulan.

 

Kontrak ini meliputi kerja-kerja sivil, struktur dan elektrik serta integrasi ke dalam rangkaian elektrik Sarawak sedia ada.

 

“Pembangunan Pencawang Entinggan dijangka dapat memastikan kebolehpercayaan bekalan dan menampung pertumbuhan pesat dalam beban organik dan perindustrian di Kuching, Sarawak.

 

“Penganugerahan kontrak menandakan Pestech kekal aktif dan berdaya saing dalam memperoleh projek baharu serta kekal positif terhadap prospek keseluruhan industri di tempat ia beroperasi,” katanya.

 

Pestech menjangkakan kontrak tersebut menyumbang secara positif terhadap hasil dan pendapatan, selaras dengan peringkat kemajuan yang akan diiktiraf dalam tahun kewangan berakhir 30 September 2024 dan 30 September 2025, dan dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih sesaham syarikat.

 

Seperti yang dinyatakan dalam dokumen penyerahan tender, Pestech berkata peruntukan nilai kontrak kepada PSB dan Sky High di bawah usaha sama masing-masing sebanyak 60% dan 40%.

 

Setakat pukul 2:21 petang ini, saham Pestech kekal pada 28.5 sen, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM282.8 juta.  - DagangNews.com