Synergy House jadi rakan kongsi perkhidmatan peruncit kelengkapan rumah, buka model perniagaan baharu | DagangNews Skip to main content

Synergy House jadi rakan kongsi perkhidmatan peruncit kelengkapan rumah, buka model perniagaan baharu

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Jun 2024 – Syarikat perabot ,Synergy House Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya Synergy House Global Sdn Bhd (SHG) terlibat sebagai rakan kongsi perkhidmatan sah di Malaysia oleh salah satu peruncit kelengkapan rumah terbesar dunia.

 

Sebagai rakan kongsi perkhidmatan, SHG akan bertanggungjawab terutamanya dalam menyokong pengeluar dan vendor tempatan Malaysia dengan memudahkan penyepaduan yang lancar ke dalam platform e-dagang global peruncit tersebut. 

 

Selain itu, SHG juga akan bekerjasama untuk menganjurkan secara bersama acara dalam talian dan luar talian dengan peruncit bertujuan antara lain kemasukan vendor baharu dan mewujudkan kesedaran tentang beroperasi dalam ekosistem e-dagang peruncit. 

 

SHG akan menganjurkan acara julung-julung kali untuk sesi pengenalan kepada vendor pada 3 Julai 2024 dengan jangkaan kehadiran wakil daripada peruncit. 

 

Bagi fasa pertama, SHG dijangka mewujudkan kesedaran mengenai program tersebut terutamanya kepada pengeluar perabot, diikuti oleh lebih ramai vendor pelbagai produk kelengkapan rumah.

 

Setelah vendor berjaya memasuki platform peruncit, SHG dijangka turut bekerjasama secara langsung dengan vendor mengenai perkhidmatan sokongan terpilih dari segi operasi dalam platform seperti peranan penasihat.

 

sgh
Synergy House merupakan penjual e-dagang rentas sempadan dan pengeksport perabot rumah sedia untuk dipasang (RTA).

 

Pengarah Eksekutif Synergy House, Tan Eu Tah berkata, pihaknya sangat teruja dengan peluang baharu ini yang mana SHG akan memainkan peranan penting meningkatkan kesedaran dalam beroperasi sebagai pemain e-dagang rentas sempadan. 

 

"SHG juga akan dapat menghubungkan vendor dengan pembekal perkhidmatan yang relevan untuk memastikan sokongan bagi pembekal untuk beroperasi dalam platform peruncit sambil menembusi rangkaian yang luas. 

 

"Synergy sebagai sebuah Kumpulan telah membina rekod prestasi yang kukuh dan pengalaman dalam segmen e-dagang lintas sempadan dan ini telah tercermin dalam hasil kewangan kami,” katanya.

 

Pengarah Eksekutif Synergy House, Teh Yee Luen menambah, usaha ini kemungkinan akan mebuka aliran pendapatan baharu untuk SHG melalui perkhidmatan terpilih yang mampu SHG sediakan kepada vendor. 

 

"Justeru, model perniagaan baharu ini akan membuka peluang pertumbuhan di samping model perniagaan B2C dan B2B semasa kami.

 

"Selain itu, kami mengakui bahawa pasaran e-dagang global adalah besar dan peluang ini membolehkan SHG menembusi pasaran baharu dan segmen pelanggan melalui vendor dan pengilang yang disokong oleh SHG," ujarnya.

 

Menurut Synergy House, penglibatan tersebut tidak dijangka mempunyai sebarang kesan material serta-merta ke atas pendapatan, pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan penggearan Kumpulan. 

 

"Tiada risiko ketara yang boleh diramalkan selain daripada risiko operasi terurus yang berkaitan dengan penglibatan. 

 

"Tiada pengarah, pemegang saham utama dan/atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung dalam penglibatan  itu," katanya.- DagangNews.com