T7 Global mahu laksanakan penempatan saham, jana hasil sekitar RM44 juta | DagangNews Skip to main content

T7 Global mahu laksanakan penempatan saham, jana hasil sekitar RM44 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - T7 Global Berhad berhasrat untuk melaksanakan penempatan saham persendirian melibatkan 20% daripada jumlah terbitan sahamnya kepada pelabur pihak ketiga yang akan ditentukan kemudian. 

 

Pada harga indikatif bernilai RM0.315 sesaham, cadangan tersebut dijangka menjana hasil kira-kira RM43.93 juta, menurut makluman UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd yang mewakili kumpulan. 

 

Jelas firma itu, sebanyak 78% daripada hasil berkenaan akan digunakan untuk modal bekerja bagi kontrak yang diraihnya menerusi anak syarikat, Tanjung Offshore Services Sdn Bhd daripada Petronas Carigali Sdn Bhd bertarikh 4 Mei 2021.

 

Sementara, bakinya atau 22% akan digunakan sebagai modal kerja untuk perniagaan perkhidmatan pengambilan pekerja dan bakat kumpulan.

 

“Kumpulan syarikat telah meraih kelulusan daripada pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) terakhir pada 28 Jun 2021, di mana menurut Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat 2016, untuk menerbitkan dan memperuntukkan saham biasa baharu di dalam T7 Global dengan syarat jumlah saham T7 baharu tidak melebihi 20% daripada jumlah saham yang diterbitkan,” jelas UOB Kay Hian kepada Bursa Malaysia. 

 

Setakat 27 Ogos 2021, jumlah modal saham yang diterbitkan oleh T7 Global bernilai RM204.98 juta yang mewakili 633.85 juta saham termasuk 17.35 juta saham perbendaharaan. 

 

Jumlah sebenar penempatan saham itu akan diterbitkan bergantung kepada jumlah terbitan saham syarikat setakat tarikh yang akan ditentukan dan diumumkan kemudian.

 

Tambah UOB Kay Hian, sekiranya Lembaga Pengarah kumpulan gagal mengenal pasti pihak pelabur untuk melanggan keseluruhan penempatan saham itu, langkah berkenaan mungkin dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan dari tarikh kelulusan oleh Bursa Securities.

 

Pada 1 Julai 2020, kumpulan pernah mengumumkan penempatan saham persendirian sehingga 117.0 juta saham baharu, mewakili 20% daripada jumlah terbitan sahamnya yang tidak termasuk saham perbendaharaan. 

 

Setakat 27 Ogos lalu, kumpulan juga telah menempatkan 102.0 juta saham pada harga terbitan RM0.365 sesaham yang menjana hasil sekitar RM37.23 juta. - DagangNews.com