TA Research kecewa tiada pengumuman mengenai hab pertukaran RE di dalam Belanjawan 2024 | DagangNews Skip to main content

TA Research kecewa tiada pengumuman mengenai hab pertukaran RE di dalam Belanjawan 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Okt - TA Research menyatakan kekecewaan mereka terhadap kerajaan kerana tidak mengumumkan sebarang mekanisme bagi hab pertukaran tenaga boleh diperbaharui (RE) di dalam Belanjawan 2024.

 

Katanya, walaupun larangan untuk mengeksport RE merentas sempadan telah ditarik balik pada Mei 2023, pihaknya memahami bahawa Malaysia pada masa ini tidak mengeksport sebarang RE ke Singapura kerana menunggu keputusan muktamad mengenai hab pertukaran RE.

 

"Malaysia kekurangan masa kerana tarikh akhir untuk mengemukakan cadangan kepada Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) Singapura bagi Permintaan Cadangan Kedua (RFP2) bagi Melantik Pengimport Elektrik Berlesen adalah dalam masa dua bulan pada 29 Disember 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, harga diesel kini ditetapkan pada RM2.15 seliterberbanding harga pasaran RM3.75 seliter.

 

Katanya, walaupun mekanisme yang tepat tidak didedahkan, firma itu menjangkakan harga siling diesel akan dinaikkan secara beransur-ansur, diikuti dengan harga siling untuk RON95 sebaik sahaja Hab Pangkalan Data Pusat (Padu) siap sepenuhnya.

 

"Kami percaya diesel dan RON95 akhirnya akan diapungkan pada harga pasaran tetapi pada kadar beransur-ansur untuk meminimumkan kesan kepada pengguna," katanya.

 

TA Research bagiamanpun agak positif terhadap langkah-langkah yang diumumkan menerusi Belanjawan 2024.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap syarikat tenaga dan utiliti, mereka percaya syarikat dalam sektor ini akan memperoleh peluang pertumbuhan pendapatan yang menarik apabila memulakan aspirasi peralihan tenaga Malaysia.

 

"Pemangkin peningkatan selanjutnya bagi sektor ini adalah daripada keputusan muktamad hab pertukaran RE Malaysia dan ia diharap dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini," katanya. - DagangNews.com