KUALA LUMPUR 10 Jan - TA Securities menilai penyedia perkhidmatan sokongan bangunan ACE KJTS Group Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE sebanyak 13 kali pendapatan sesaham (EPS) tahun kalendar 2025 (CY2025), mencapai nilai saksama 29 sen.
Firma penyelidikan itu, yang belum memberi penarafan ke atas saham itu, berkata pada harga tawaran awam permulaan 27 sen, KJTS berharga pada nisbah harga-pendapatan tertinggal 27.1 kali teras EPS tahun kewangan 2022 (FY2022).
Menurutnya, pengembangan berterusan dalam industri pembinaan dijangka mengekalkan dan mewujudkan peluang bagi pengendali seperti KJTS dalam sektor perkhidmatan sokongan bangunan.
TA Securities berkata ia menjangkakan kumpulan itu mencatat pertumbuhan pendapatan 14.1% kepada RM7.8 juta untuk FY2023, 52.9% kepada RM12.0 juta untuk FY2024, dan 26.5% kepada RM15.2 juta untuk FY2025.
"Pertumbuhan ini disokong oleh perbelanjaan modalnya untuk pelan pengembangan bagi mengembangkan perkhidmatan pengurusan tenaga penyejuk dalam tempoh tiga tahun akan datang," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
KJTS Group Berhad menyasarkan untuk mengumpul RM58.9 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) selepas disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 26 Januari 2024.
ARTIKEL BERKAITAN: KJTS sasar kumpul RM58.9 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia
IPO itu terdiri daripada terbitan 218.03 juta saham baharu pada 27 sen sesaham, dengan sebahagian besar hasil akan digunakan untuk pengembangan perniagaan syarikat, modal kerja dan untuk membayar perbelanjaan penyenaraian.
Sejumlah RM44.9 juta akan digunakan untuk pengembangan perniagaan, termasuk RM40.4 juta untuk pengembangan segmen Tenaga Penyejuk dan RM4.5 juta untuk pembesaran pejabat di Malaysia, Thailand dan Singapura.
Sementara itu, baki RM8.1 juta akan diperuntukkan untuk modal pusingan dan RM5.8 juta untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.
Sejumlah 15 juta saham akan diperuntukkan untuk penempatan persendirian, dengan 1.7 juta saham akan diperuntukkan untuk pengarah yang layak, 2.4 juta saham untuk pengurusan kanan utama yang layak, 10.46 juta saham bagi pekerja yang layak manakala 440,000 saham untuk orang yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Sementara itu, sebanyak 34.4 juta saham akan diperuntukkan kepada rakyat Malaysia melalui pengundian. - DagangNews.com