TA Securities mulakan liputan terhadap PGF Capital dengan saranan 'beli', TP RM2.76 sesaham | DagangNews Skip to main content

TA Securities mulakan liputan terhadap PGF Capital dengan saranan 'beli', TP RM2.76 sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Jan - TA Securities memulakan liputan terhadap PGF Capital Berhad dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM2.76 sesaham.

 

Kumpulan itu terlibat dengan pembuatan dan penjualan mineral kaca yang digunakan sebagai penebat dalam bangunan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu memainkan peranan penting dalam isu berkaitan pemanasan global dengan menyediakan rumusan penebat bangunan kos rendah, tidak mudah terbakar dan berkesan.

 

TA Securities berkata, kumpulan itu juga adalah antara pemilik tanah terbesar di Tanjong Malim yang memiliki 530.5 hektar tanah pajakan bersebelahan Proton City.

 

Berdasarkan harga pasaran RM45 kaki persegi, nilai tanah itu adalah tiga kali lebih besar daripada permodalan pasaran PGF Capital.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih 3QFY24 PGF Capital meningkat kepada RM5.4 juta didorong peningkatan hasil sebanyak RM36.7 juta

 

“Kami percaya ia akan menjadikan PGF sebagai sasaran penswastaan atau penggabungan dan pengambilalihan pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan pertumbuhan hasil FY24, FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 49%, 42% dan 29%.

 

“Peningkatan hasil itu akan menyumbang untung teras sebanyak RM10.3 juta, RM41.9 juta dan RM42.6 juta," katanya.

 

Terdahulu, segmen penebat dan produk berkaitan merupakan penyumbang utama kepada kedua-dua hasil dan keuntungan bagi suku ketiga berakhir 30 November 2023 (3QFY24).

 

Segmen itu mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM36.3 juta, peningkatan 109.3% daripada RM17.4 juta pada 3QFY23, mencerminkan peningkatan output pengeluaran selepas selesai kerja pembaikan dan penyelenggaraan di salah satu barisan pengeluaran dan pemulihan yang berterusan dalam industri pembinaan di Australia.

 

Bagi kumulatif 9MFY24, kumpulan itu melaporkan peningkatan hasil ketara sebanyak 44.1% hasil, berjumlah RM95.3 juta berbanding RM66.1 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya. - DagangNews.com