KUALA LUMPUR 26 April - Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing meningkatkan pegangan dalam BIMB Group Holdings Bhd. menerusi penempatan persendirian.
BIMB kini sedang melaksanakan penstrukturan kumpulan yang akan menyaksikan Bank Islam Malaysia Bhd. akan disenaraikan di Bursa Malaysia, Ogos ini.
Pada 13 April lalu, kumpulan telah menyelesaikan penempatan saham berjumlah 222.22 juta dengan nilai RM3.58 sesaham bagi menjana modal kira-kira RM795.6 juta.
Baca : Bank Islam bakal muncul satu-satunya institusi perbankan Islam penuh disenaraikan
Berdasarkan beberapa makluman berasingan di Bursa Malaysia, ia menyaksikan Tabung Haji membeli 12 juta saham penempatan, menjadikan pegangannya dalam BIMB meningkat kepada 997.11 juta saham atau 48.03%.
BIMB juga mendapati, KWSP menerusi akaun penama membeli 45.87 juta saham penempatan pada 21 April lalu yang dibuat menerusi 7 transaksi.
Blok saham terbesar yang dibeli adalah sebanyak 45 juta saham manakala paling kecil, 117 juta saham.
Ini menjadikan KWSP memiliki 278.59 juta saham atau 13.42% pegangan dalam BIMB.
Menurut BIMB, Permodalan Nasional Bhd (PNB) bukan lagi merupakan pemegang saham utama dalam kumpulan, hasil daripada peningkatan modal berbayar kumpulan kepada 2.08 bilion saham daripada 1.85 bilion.
Setakat 17 Mac lalu, PNB mempunyai 93.93 juta saham dalam BIMB, yang mana ia menyamai 5.07% pegangan.
Minggu lalu, ketika taklimat Hala Tuju Bank Islam, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, apabila disenaraikan kelak, Bank Islam menyasarkan untuk mencapai saiz aset mencecah RM100 bilion dalam tempoh 5 tahun berbanding RM75 bilion ketika ini.
Jelasnya, apabila Bank Islam mengambil alih penyenaraian ini, ia akan memberi lebih banyak peluang kepada bank untuk meneroka bidang baharu terutama dari segi produk baharu dan pasaran baharu.
Menerusi pelan 5 tahun dikenali LEAP 25, akan menyaksikan Bank Islam meneroka bidang baharu terutama perbankan borong, enterprise, bank digital, pengurusan kekayaan dan kewangan sosial menjelang 2025. - DagangNews.com