MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM
SEJAK pertama kali iklan jualan Menara TM disiarkan pada 9 Februari 2022, banyak benda sudah kita faham kedudukan Telekom Malaysia, yang merupakan syarikat telekomunikasi terbesar di negara ini.
Iklan yang diterbitkan di dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris itu menyatakan agen pemasaran eksklusif bagi penjualan Menara TM adalah firma CBRE/WTW dan bangunan itu akan dijual bersama 100% penghuni.
Keseluruhan Menara TM setinggi 55 tingkat siap dengan tapak helicopter mendarat ditawarkan pada harga RM700 juta dengan lima syarikat yang membuat bidaan sudah disenarai pendek oleh firma Menara ABS Bhd (MAB).
Menara TM yang merupakan satu daripada bangunan ikonik di ibu negara, direka bentuk menyerupai `pucuk buluh tumbuh’ dan paling terkini, digelar oleh golongan milenial sebagai bangunan Avengers, iaitu bangunan di dalam filem Avengers.
Terletak di Jalan Pantai Baharu, ia menghadap Lebuh Raya Persekutuan menjadikan ia satu mercu tanda yang cukup dikenali. Bangunan ini telah direka bentuk oleh Hijjas Kasturi Associates untuk Telekom Malaysia Bhd dan dibina antara 1998 hingga 2001 oleh Daewoo Construction.
Menara ini dibuka secara rasmi oleh perdana menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 11 Februari 2003.
Jualan menara itu merangkumi sebuah bangunan pejabat, sebuah pusat konvensyen, sebuah dewan serba guna, sebuah kompleks sukan, klinik dan tapak tanah yang masih kosong.
Lima syarikat yang disenarai pendek akan melalui proses usaha wajar (due diligence) dan pemeriksaan latar belakang masing-masing, bagi memasuki peringkat kedua, yang akan berlangsung antara April dan Mei. Keputusan dijangka dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini.
Gerimis Mengundang
Pada 2008 Telekom Malaysia sudah pun menjual Menara TM dan mendudukinya menerusi perjanjian pajakan.
Telekom Malaysia telah memeterai perjanjian bersyarat jual dan beli, serta perjanjian ijarah dengan Menara ABS Bhd pada 2 Januari 2008 untuk menjual Menara TM, Wisma TM Taman Desa, Cyberjaya Complex dan Menara Celcom yang membabitkan penerbitaan sukuk ijarah bernilai RM1 bilion.
Menara ABS Bhd adalah syarikat amanah tujuan khas ditaja oleh Telekom Malaysia bagi memudahcara proses pensekuritian keempat-empat hartanah tersebut menerusi penjualan dan pajak semula atau aturan ijarah.
Di bawah aturan ijarah, Telekom Malaysia akan terus menghuni, menyenggara dan menguruskan hartanah-hartanah tersebut di bawah perjanjian pajakan 15 tahun dengan Menara ABS Bhd.
Tahun lalu dilaporkan Menara ABS Bhd berunding dengan Telekom Malaysia untuk membeli balik atau memajak hartanah tertentu di dalam porfolio bagi tujuan pembiayaan semula.
Namun, pandemik COVID-19 dan situasi pasaran pejabat yang lemah mendatangkan kesukaran untuk merunding pembaharuan pajakan dan/ atau pelupusan hartanah tersebut di pasaran terbuka.
Bercanda di pasiran Pantai Baru
Cerita Menara TM ini bukan setakat cerita jual bangunan. Ada cerita lebih mendalam dan rumit, sebenarnya. Mari kita sama-sama cuba memahaminya:
- Pada 2007, kerajaan meminta TM membina Infrastruktur Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) pada kos RM15 bilion dan TM perlu mencari pembiayaan RM10 bilion untuk tempoh lebih 10 tahun.
- Maka lahirlah Unifi oleh TM. Ramai daripada kita menggunakannya sehingga sekarang.
- Tapi bab pembiayaan TM kena fikir sendiri untuk melaksanakan projek nasional jalur lebar itu.
- Maka inilah sebab mengapa pada 2008, TM memeterai urus niaga sekuriti bagi hartanah miliknya, terutama Menara TM – sekali gus menjadi urus niaga terbesar pernah dilakukan.
- Secara ringkas, TM perlu menjana RM1 bilion untuk pelaburan dan modal kerja dengan menerbitkan sukuk atau bon Islam.
- Laporan media ketika itu mengatakan KWSP, KWAP dan Tabung Haji `diminta’ (atau diarah) untuk menyokong penjualan sukuk berkenaan.
- Di bawah urus niaga tersebut, Menara TM dan tiga lagi bangunan milik Telekom Malaysia menjadi `jaminan’ bagi hutang yang dijana tersebut.
- Dan 13 tahun kemudian hari ini, Telekom Malaysia berdepan masalah menguruskan sukuk tersebut, faktor penyebab ialah impak daripada COVID-19 terhadap hasil perniagaan. Ok ini kita faham sebab gerai pasar malam pun terjejas sama.
- Kaedah terbaik hendak turunkan kos menyewa di Menara TM ialah memindahkan kakitangannya ke bangunan TM lain yang masih dimiliki syarikat.
- Tiada isu jika diteliti dari sudut pengurusan TM. Sesiapa pun jadi CEO pun akan mencadangkan perkara serupa.
- Tetapi....
Di sana menanti, di sini tak mau?
- Pelabur institusi yang disebut di Perkara No.6 di atas tidak senang dengan perkembangan terbaharu ini kerana TM sepatutnya membeli balik Menara TM, yang merupakan opsyen di bawah urus niaga sekuriti ini.
- KWSP, KWAP dan TH berdepan risiko tidak mendapat pulangan daripada pelaburan mereka dengan keputusan TM menjual Menara TM.
- KWSP yang memiliki lebih 50% hak mengundi dalam kalangan pelabur sukuk, telah mendesak supaya Menara TM dijual.
- Tabung Haji pula tidak bersetuju dan mahu TM kekal sebagai penyewa utama Menara TM dan mahu perundingan diteruskan.
- Rasa terkilan di pihak Tabung Haji amat ketara kerana bila TM meminta bantuan, dan bantuan itu diberikan kini budi tersebut tidak dibalas sewajarnya.
- Sejak pendedahan ini disiarkan oleh DagangNews.com pada 11 Februari 2022, belum ada apa-apa reaksi daripada mana-mana pihak.
ARTIKEL BERKAITAN: Menara TM: The real story behind the sale of the landmark building
- Oh ya lupa, mana ada ketelusan dalam korporat Malaysia. Nak kena tunggu whistleblower? Nasiblah kalau dia tidak ditangkap dulu kerana bercakap dengan media.
Meneka Dalam Kesamaran
- Semua pelabur institusi itu mewakili rakyat Malaysia kebanyakannya. Hampir semua orang yang bekerja atau ada perniagaan mencarum di dalam KWSP. Yang KWAP itu jika anda sudah dalam kluster pesara dan Tabung Haji khas untuk orang Islam. Jadi KWSP mewakili majoriti daripada kita.
- Mari kita cuba memahami pendirian KWSP supaya dijual saja bangunan TM berbanding pendirian Tabung Haji. Kalau sudah memang TM tak larat hendak membayar balik sukuk, tidak guna juga dibiarkan merintih. Nanti tiada duit pula hendak senggara Unifi. Lagi merana kita hendak dapatkan internet jalur lebar.
- Disebabkan kita tidak tahu apa rasional KWSP, jadi kita meneka dalam kesamaran sekarang: KWSP minta dijual Menara TM dengan syarat, harga jualan mencukupi untuk membayar balik duit pelaburan asal dan dengan margin. Jadi situasi untung-untung. Bukan untung-gigit jari. Tapi ini senario `mungkin’.
- Tetapi kalau sudah ada syarat sedemikian oleh KWSP, mengapa TH tidak seperahu? Mungkinkah tiada pun syarat itu? Jual supaya tidak terus berdarah? Tutup kerugian supaya tidak terus rugi. Tidak mungkin TH melawan arus dengan KWSP semata-mata sentimen ‘orang berbudi kita berbahasa’.
- Jadi bagaimana kita hendak tahu apa tersurat dan tersirat ini? Kalau disoal di Dewan Rakyat mungkin laju sikit kita dapatkan cerita sebenar. Tapi perlukah sampai ke Dewan Rakyat? Boleh saja amalkan ketelusan. Cerita sajalah. – DagangNews.com
MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu I'm a Believer oleh The Monkees berulang-ulang kali.