‘Tambah’ saham DRB-HICOM, saran CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

‘Tambah’ saham DRB-HICOM, saran CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham DRB-HICOM Berhad dengan harga sasaran (TP) dinaikkan sedikit kepada RM2.36. 

 

“Kami meningkatkan perolehan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY23 sebanyak 3% hingga 13% ekoran margin yang lebih baik ditonjolkan Proton. 

 

“Sahamnya menyusut sebanyak 20% dari awal tahun hingga setakat ini, kami fikir penurunan itu mungkin disebabkan oleh prospek jualan kenderaan yang lebih lemah pada suku pertama 2021 (1Q21) susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

 

“Tetapi, kami bersikap optimistik terhadap pemulihan yang lebih kukuh dalam aktiviti ekonomi setelah vaksin COVID-19 diedarkan secara meluas,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya. 

 

Semalam, DRB-HICOM Berhad mengumumkan perolehannya mencecah RM4.85 bilion bagi suku tahun berakhir 31 Disember 2020 (4Q20) dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) bernilai RM948.8 juta.

 

Baca : RM4.85 bilion perolehan DRB-HICOM bagi 4Q20

 

Bagi prestasi sepanjang tahun kewangan 2020 (FY20), DRB-HICOM menyaksikan PBT berjumlah RM540.1 juta, daripada perolehan bernilai RM13.2 bilion.

 

Disebabkan ini merupakan tahun kewangan penuh yang pertama DRB-HICOM untuk tempoh kewangan yang dirombak, oleh itu tiada angka suku tahunan atau tahunan terdahulu bagi perbandingan.

 

Prestasi berkenaan telah dipacu oleh sektor automotif dan juga hartanah. 

 

Tambah CSG-CIMB, pihaknya melihat jumlah jualan Proton yang lebih baik, peningkatan perolehan Pos Malaysia dan kontrak baharu dengan DEFTech akan bertindak sebagai pemangkin penarafan semula sahamnya. 

 

“Kami menjangkakan Proton bakal mencatatkan 20% pertumbuhan jumlah jualan bagi tahun ini, dipacu oleh jualan segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) yang lebih tinggi, ekoran permintaan model X50 dan X70 yang lebih kukuh. 

 

“Kumpulan syarikat itu mendedahkan bahawa permintaan X50 melebihi jangkaan memandangkan ia mencatatkan pendaftaran tempahan sehingga 46,300 unit setakat ini. 

 

“Kami difahamkan kumpulan syarikat hanya mengeluarkan 5,500 unit X50 pada 4Q20,” jelas CGS-CIMB lanjut.

 

Setakat 12.30 tengah hari, nilai saham DRB-HICOM menokok 10 sen kepada RM1.77. - DagangNews.com