Tan Chong Motor dilantik sebagai pengedar kenderaan GAC Motor di Vietnam | DagangNews Skip to main content

Tan Chong Motor dilantik sebagai pengedar kenderaan GAC Motor di Vietnam

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Feb - Tan Chong Motor Holdings Bhd menerusi TC Services Vietnam Co. Ltd. dilantik sebagai pengedar kenderaan GAC Motor International Co Ltd di Vietnam.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, TC Services Vietnam diberi hak untuk mengimport, mengedar dan menjual kenderaan dan alat ganti serta menyediakan perkhidmatan selepas jualan.

 

Katanya, syarikat itu juga mempunyai hak untuk melantik sub-pengedar untuk melaksanakan perkhidmatan selepas jualan untuk kenderaan dan alat ganti.

 

"Perjanjian itu adalah selama tiga tahun dan ia boleh diperbaharui oleh mana-mana pihak dengan memberikan notis bertulis sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tamat tempoh kerjasama.

 

"Ia juga memberi peluang kepada Tan Chong Motor untuk mengembangkan kedudukannya dalam industri automotif di Vietnam," katanya.

 

Perjanjian itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas perolehan sesaham, aset bersih sesaham dan penggearan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Selain itu, ia juga tidak mempunyai kesan ke atas modal saham kumpulan.

 

"Tiada pengarah, pemegang saham utama dan/atau orang yang berkaitan dengan pengarah dan pemegang saham utama Tan Chong Motor, mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung dalam perjanjian itu," katanya. - DagangNews.com