Tanco bersama rakan kongsi China percepatkan pembangunan pelabuhan AI Pintar pertama Malaysia di Negeri Sembilan   | DagangNews Skip to main content

Tanco bersama rakan kongsi China percepatkan pembangunan pelabuhan AI Pintar pertama Malaysia di Negeri Sembilan  

(Fifth from left ) Chairman of the Executive Committee of the Malaysia-China Business Council, Tan Sri Dr. Goh Tian Chuan; (Sixth from left) Group Managing Director of Tanco Holdings Berhad, Datuk Seri Andrew Tan Jun Suan; (Eight from left) Chairman of the Shanghai Federation of Overseas Chinese, Qi Quansheng dan (Seventh from left ) Negeri Sembilan State Executive Councilor, Teo Kok Seong
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Sept - Tanco Holdings Berhad menyertai “Malaysia-China Entrepreneurs Exchange Conference” pada Isnin bagi memfokuskan kepada projek infrastruktur yang berlandaskan kecerdasan buatan (AI) seperti Pelabuhan Kontena AI Pintar pertama Malaysia di Negeri Sembilan.

 

Persidangan yang diadakan sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia itu merupakan inisiatif kerjasama bagi menggalakkan pelaburan dua hala, terutamanya dalam pembangunan mampan dan kerjasama ekonomi digital.

 

Syarikat itu berkata, Pelabuhan Kontena AI Pintar Tanco telah diketengahkan semasa persidangan sebagai projek infrastruktur utama yang akan meningkatkan keupayaan perdagangan antarabangsa Malaysia.

 

"Pelabuhan dibina atas tanah seluas 480 hektar itu juga mempunyai teknologi terkini yang menampilkan akses air dalam semula jadi melebihi 21 meter, membolehkannya menempatkan kapal kontena terbesar di dunia.

 

"Ia akan meletakkan Negeri Sembilan sebagai hab maritim penting di Asia Tenggara serta membuka potensi ekonomi yang ketara bagi sektor logistik dan perindustrian Malaysia," ulas Tanco dalam kenyataan hari ini.

 

Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Teo Kok Seong menekankan kelebihan geografi negeri yang akan mewujukan persekitaran pelaburan kompetitif. 

 

Pengerusi Persekutuan Shanghai Orang Cina Luar Negara, Qi Quansheng juga mengulaskan peranan penting perniagaan Cina dalam Inisiatif Belt and Road (BRI).

 

Semasa majlis itu, Pengarah Urusan Kumpulan Tanco Holdings Berhad, Datuk Seri Andrew Tan Jun Suan berkata, pelabuhan tersebut akan memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan teknologi di Malaysia.

 

Tanco turut menekankan Negeri Sembilan bakal menjanakan lebih RM2 bilion dalam pelaburan asing, termasuk pemain terkenal seperti Nezha Automobile, Lee Kum Kee dan Kibing Glass.

 

"Lokasi projek yang strategik, ditambah dengan harga tanah yang kompetitif di Negeri Sembilan, menjadikannya destinasi pelaburan yang menarik untuk perusahaan tempatan dan antarabangsa.

 

"Pelabuhan Kontena AI Pintar akan menawarkan keupayaan logistik termaju sambil menggalakkan amalan mampan.

 

"Ia juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan zon perindustrian dan pelaburan teknologi hijau di rantau ini," katanya. - DagangNews.com