SETELAH gagal dilancarkan pada 13 September 2022, tarikh baharu 10 Oktober ini amat dinantikan pihak berkepentingan terutama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk melihat kapal ronda luar pesisir (OPV) yang lama tertangguh dapat disiapkan sekurang-kurangnya sebuah di Limbungan Pulau Indah, Selangor.
Syarikat TH Heavy Engineering mengubah cara pelancaran iaitu daripada Launching Cradle kepada sistem pelancaran Air Balloon iaitu dengan meletakkan pelampung getah pada bawah kapal.
Pelampung getah yang diisikan angin ini akan menaikkan badan kapal daripada pelantar seterusnya memudahkan dilancarkan ke air.
Dalam fasa pembinaan mana-mana kapal, ini adalah peringkat yang paling ditunggu-tunggu kerana ia merupakan kemuncak proses bina vesel.
Fasa melancarkan kapal ke air bermakna projek pembinaan ini memasuki proses akhir iaitu kapal akan menjalani ujian pelayaran di laut beberapa bulan termasuk menguji sistem-sistem yang telah dipasang.
Apabila ini berjaya dan kapal disahkan menepati spesifikasi, maka seterusnya ialah menyerahkan kapal kepada pengguna akhir iaitu APMM.
Bagaimana pun, persoalan yang timbul ketika ini dalam kalangan pemerhati pertahanan ialah apa akan berlaku sekiranya pelancaran menggunakan kaedah Air Ballon itu juga gagal.
Walaupun kebarangkalian kapal untuk diluncurkan ke air boleh dilakukan kali ini tetapi kemungkinan juga berlaku sebaliknya.
Apa yang pasti jika gagal lagi, maka harapan untuk kapal OPV pertama dapat diserahkan kepada APMM pada awal 2023 terpaksa dilupakan sekali gus merencatkan proses penyerahan kapal-kapal berikutnya.
OPV pertama yang diberi nama KM Tun Fatimah ini sangat penting dan bermakna bukan sahaja kepada APMM, malah syarikat pembuatnya.
Dua buah kapal lagi masih dalam pembinaan di limbungan sama dengan kapal kedua dianggarkan lebih 50 peratus disiapkan.
Kapal ketiga bagaimana pun dikatakan masih pada fasa yang sangat kecil.
APMM sepatutnya menerima OPV pertama pada Ogos lalu selepas kerajaan memberi lanjutan sehingga 18 bulan kepada syarikat TH Heavy Engineering untuk menyiapkan kerja yang tertangguh.
BACA: Selepas LCS, kini status kapal OPV APMM pula jadi tanda tanya
Pada Februari lalu, Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hamzah Zainuddin semasa meninjau kerja-kerja pembinaan OPV tersebut telah memaklumkan tentang masalah ini.
Katanya, OPV pertama sepatutnya diserahkan kepada APMM dua tahun lepas, tetapi tarikh penyerahan kapal-kapal itu mengalami kelewatan disebabkan ketidakmampuan syarikat pembuat kapal.
“Walaupun kita sudah memberikan kontrak kepada sebuah syarikat, sepatutnya sudah diperoleh dalam dua tahun lalu, tetapi terlewat kerana tiada kemampuan oleh syarikat itu.
“Jika tidak, kita sudah ada tiga kapal baru, tetapi oleh kerana kelewatan mereka, ia tergendala,” katanya.
Jelas Hamzah pada sidang akhbar tersebut, APMM juga berdepan dengan masalah aset-aset usang dengan majoriti kapal-kapalnya berusia lebih 30 tahun.
BACA: Tiga kapal peronda luar pesisir OPV dijangka siap tahun hadapan, kata APMM
OPV ini dibina berasaskan rekaan kapal kelas Damen 1800 memiliki panjang 83 meter, berat 1,890 tan dengan 70 kru.
Kapal ini dilengkapi selaras meriam ringan kaliber 30mm jenis Aselsan SMASH RWS selain dipasang dua laras mesingan 7.62mm pada sisi kapal dan selaras mesingan 12.7mm.
Dengan kelajuan sehingga 22 knot, OPV ini boleh belayar selama 21 hari untuk dioperasikan sehingga ke Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
Bagi menggandakan kemampuan kapal, ia juga mempunyai mempunyai geladak pendaratan helikopter saiz sederhana.
Sewaktu pembinaan OPV dimulakan, TH Heavy Engineering bekerjasama dengan Destini Sdn. Bhd, menerusi peratusan pegangan dalam projek masing-masing 49 peratus dan 51 peratus.
Bagaimana pun, pada April 2021 TH Heavy Engineering telah mengambil alih kesemuanya pegangan Destini Sdn. Bhd.
Imbas kembali, kontrak perolehan tiga OPV bernilai RM738.9 juta ini dimeterai pada Januari 2017 untuk disiapkan dalam tempoh 42 bulan.
Jika mengambil kira tempoh itu kapal-kapal ini telah pun siap pada Julai 2020.
Kelewatan penyerahan ini juga telah menimbulkan cakap-cakap dalam kalangan industri mengenai kemampuan sebenar syarikat pembinanya.
Apabila syarikat gagal membawa turun kapal ke air, ini menimbulkan lagi seribu tanda tanya tentang kemampuan limbungan dalam melaksanakan projek pembinaan kapal besar.
Bukan untuk menidakkan kemampuan syarikat tempatan tetapi isu kegagalan untuk menyiapkan projek serupa pernah berlaku sebelum ini.
Pada tahun 2010, Kementerian Pertahanan telah menganugerahkan kontrak bernilai RM294 juta kepada syarikat perkapalan tempatan, NGV Tech membina dua buah kapal latihan untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Projek melibatkan usahasama antara NGV Tech dan Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering Co. (DSME) dari Korea Selatan dengan sokongan teknologi DSME.
Kapal yang dibina di limbungan NGV Tech di Sijangkang, Banting itu dijadualkan siap pada 2013, malangnya mengalami kelewatan apabila syarikat NGV Tech berdepan masalah kewangan.
Pembinaan dua kapal bersaiz OPV yang diberi nama KD Gagah Samudera dan KD Teguh Samudera itu kemudian diambil alih syarikat lain sebelum ditauliahkan pada tahun 2018.
Kita tidak mahu kejadian pisang berbuah dua kali berlaku dan terlewat lagi untuk APMM menerima OPV yang juga merupakan aset terpenting dalam proses pemodenan pasukan tersebut.
Semestinya juga kita tidak mahu program OPV APMM menerima nasib sama sepertimana isu kapal tempur pesisir pantai (LCS) TLDM apabila terpalit masalah.
Sebab itu, tarikh 10 Oktober nanti penting kerana menjadi penentu apa yang akan berlalu seterusnya pada nasib program OPV. - DagangNews.com