KUALA LUMPUR 5 April - Cadangan pengambilalihan konsesi 4 lebuh raya oleh Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) seperti diumumkan kerajaan semalam, dilihat tidak akan berdepan tentangan hebat berbanding tawaran yang dikemukakan Kementerian Kewangan pada 2019.
Empat syarikat konsesi lebuh raya terbabit ialah Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd (Sprint), Kesas Sdn. Bhd. dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) pada nilai perusahaan (EV) RM5.48 bilion.
Penganalisis Kenanga Research, Lum Joe Shen berkata, cadangan pengambilalihan kali ini juga berkemungkinan mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk dimuktamadkan.
Katanya, ini memandangkan kerajaan tidak terbabit dalam urus niaga ini seperti perjanjian sebelum ini yang mana kerajaan perlu memberikan jaminan.
"Malah, perjanjian kali ini turut menjimatkan bayaran pampasan tol kerajaan sebanyak RM4.3 bilion yang diperlukan untuk baki 4 konsesi tol berkenaan.
"Ini sekali gus membolehkan orang ramai menikmati kadar tol yang sama bagi sepanjang tempoh baki konsesi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam mengumumkan tiada kenaikan kadar tol di 4 lebuh raya iaitu Kesas, Sprint, SMART dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP). sehingga tamat tempoh konsesi, sekali gus bakal memberi penjimatan bayaran pampasan dari 1 Januari lalu yang dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion.
BACA: Kalau kerajaan ambil alih 4 lebuh raya, rakyat untung ke?
Ketika memperincikan perkara itu, Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penstrukturan semula menerusi kaedah itu menyaksikan tiada lagi pemegang saham dalam apa juga bentuk seperti dividen.
Pemegang saham sedia ada dalam konsesi semasa 4 lebuh raya berkenaan, antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWAP), Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan Lembaga Tabung Haji akan mendapat pulangan pelaburan lebih awal daripada sepatutnya.
Fadillah juga menjelaskan cadangan sebelum ini membabitkan jaminan kerajaan, pengambilalihan syarikat dan keseluruhan entiti lebuh raya, selain kemungkinan lanjutan tempoh konsesi, yang mana kaedah itu bercanggah dengan dasar penswastaan yang bakal akan memberi kesan negatif terhadap pelabur.
ALR ialah syarikat persendirian bukan berasaskan keuntungan ditubuhkan pada 2021 yang diberi mandat oleh kerajaan untuk membantu melaksanakan penstrukturan semula lebuh raya.
Baca : Amanat Lebuhraya Rakyat tawarkan RM5.5 bilion ambil alih 4 konsesi lebuh raya
Secara dasarnya, Gamuda Bhd. memegang 70% kepentingan dalam Kesas dan 50% daripada syarikat usaha sama dalam SMART. Kumpulan kejuruteraan dan pembinaan itu juga memegang 51.6% kepentingan dalam Sprint dan 43.2% dalam Litrak, yang mengendalikan LDP.
Litrak juga memiliki 50% kepentingan dalam Sprint manakala Kumpulan Perangsang Selangor Bhd. (KPS) memegang 20% lagi kepentingan.
Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB Research, Sharizan Rozely percaya Gamuda akan menerima tawaran pengambilalihan itu setelah ia tertangguh sejak 2019.
Ini kerana katanya, langkah itu juga akan menamatkan skim pelupusan lebuh raya yang telah lama berpanjangan.
"Pada masa sama, model yang dicadangkan ALR itu dilihat sebagai perjanjian menang-menang untuk Gamuda, kerajaan dan pengguna lebuh raya dalam jangka masa yang lebih lama," katanya.
Menurutnya, keseluruhan nilai pengambilalihan bagi 4 lebuh raya tersebut dengan EV RM5.48 bilion, adalah 13% lebih rendah berbanding RM6.2 bilion ketika tawaran itu dikemukakan pada 2019.
MIDF Research pula berkata, pelupusan syarikat konsesi kepada ALR membolehkan Gamuda menambah nilai konsesi lebuh rayanya.
"Tanpa perniagaan konsesi lebuh raya, ini bermakna Gamuda kehilangan pendapatan yang berdaya tahan yang boleh menjana untung bersih sebanyak RM170 juta setahun, merangkumi 20% hingga 25% daripada pendapatan bersih kumpulan.
"Tetapi, jika tiada pelupusan sekali pun, tempoh konsesi juga akan berakhir tidak lama lagi, seperti KESAS yang akan tamat pada 2028 manakala LDP pada 2030," jelasnya.
Firma itu juga menyifatkan tawaran berkenaan adalah menarik kepada pemegang saham Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd. (Litrak) dan percaya ia akan diterima memandangkan kurangnya pemangkin bagi LDP dan SPRINT.
"Ini memandangkan purata trafik bertol pada hari bekerja untuk lebuh raya ini berada dalam aliran menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan meningkatnya jumlah penumpang pengangkutan awam terutamanya LRT dan MRT.
"Dalam tempoh jangka panjang, dengan siapnya projek MRT2 dan MRT3 akan terus menambah tekanan kepada jumlah aliran trafik bertol," katanya.
Dalam dagangan pagi ini, saham Litrak diniagakan dalam kalangan kaunter paling untung dengan setakat 10.23 pagi ini, melonjak 44 sen atau 10.92% kepada RM4.47 dengan 2.37 bilion saham diniagakan.
Gamuda pula menokok 8 sen atau 2.29% kepada RM3.57 dengan 2.95 juta saham diniagakan manakala KPS menokok 7 sen atau 9.66% kepada 79.5 sen dengan 2.33 juta saham diniagakan. - DagangNews.com