Tekanan kos diramal jejas pertumbuhan, keuntungan Rhone Ma pada 2024 - Affin Hwang | DagangNews Skip to main content

Tekanan kos diramal jejas pertumbuhan, keuntungan Rhone Ma pada 2024 - Affin Hwang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Affin Hwang Investment Bank meramalkan tekanan kos akan menjejaskan pertumbuhan serta keuntungan Rhone Ma Holdings Bhd pada 2024. 

 

Walaupun menyukai pengurusan kumpulan itu serta portfolio produknya yang luas selain usaha berterusan alam mengembangkan kapasiti pembuatan, firma penyelidikan itu membayangkan tekanan kos akan terus mempengaruhi margin mereka dan mengehadkan trajektori pertumbuhan keuntungannya.

 

Katanya, kumpulan itu akan dijangka meraih pendapatan lebih kukuh daripada jangkaan serta dan pengembangan perniagaan yang lebih menguntungkan daripada perniagaan produk tenusunya.

 

"Rhone Ma bagaimanapun berdepan beberapa risiko seperti persaingan sengit dalam perniagaan kesihatan haiwan, cabaran operasi dalam perniagaan tenusu, dan risiko permulaan/pembinaan kilang pemprosesan susu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, jualan kumpulan itu pada suku kedua meningkat 9% dari suku tahun ke suku tahun kepada RM56.4 juta dipacu oleh segmen kesihatan haiwan (+15% kepada RM46.6 juta) dan perniagaan lain (+1.5% kepada RM1.8 juta) tetapi sebahagiannya diimbangi pertumbuhan yang lebih lemah daripada perniagaan bahan makanan (-14% kepada RM8.1 juta).

 

Walaupun mencatatkan hasil yang lebih tinggi, pendapatan teras bagi suku tersebut bagaimanapun menguncup sebanyak 11.1% dari suku tahun ke suku tahun disebabkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih lemah akibat kos operasi serta susut nilai dan perbelanjaan faedah yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Rhone Ma melaporkan hasil bagi 6MFY24 yang lebih tinggi sebanyak RM108.2 juta didorong sumbangan lebih tinggi daripada segmen kesihatan haiwan dan perniagaan lain.

 

Hasil 6MFY24 daripada perniagaan kesihatan haiwan meningkat sebanyak 25% kepada RM87.2 juta berikutan permintaan yang lebih tinggi untuk produk haiwan pendamping dan produk ternakan manakala perniagaan lain (+50.6% kepada RM3.5 juta) didorong oleh perniagaan perundingan ladang yang lebih tinggi.

 

"Sejajar dengan hasil yang lebih tinggi, pendapatan teras 6MFY24 meningkat sebanyak 12.5% ​​kepada RM7.2 juta," katanya.

 

Affin Hwang mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 70 sen sesaham. - DagangNews.com