Bilangan pengangguran menurun kepada 546,700 atau 3.2% pada November 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Bilangan pengangguran menurun kepada 546,700 atau 3.2% pada November 2024 - DOSM

Gambar hiasan oleh MOHD HASRUL NIZAM BIN SABANI
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 10 Jan - Bilangan pengangguran pada November 2024 menurun kepada 546,700 dengan kadar pengangguran sebanyak 3.2%, menurut Statistik Tenaga Buruh November 2024 terbaharu.

 

Ini menandakan penurunan 0.9% daripada 551,400 orang menganggur pada Oktober 2024.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi ekonomi Malaysia terus kukuh menjelang penghujung tahun 2024 membawa kepada kedudukan pasaran buruh negara yang semakin stabil pada bulan November 2024.

 

Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada bulan November 2024 terus mengukuh dengan kenaikan sebanyak 0.1 peratus merekodkan 17.29 juta orang (Oktober 2024: 17.27 juta orang).

 

Kadar penyertaan tenaga buruh tidak berubah iaitu pada 70.5 peratus, seperti yang direkodkan pada bulan lalu.

 

Dr. Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja berada pada trend menaik, meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.75 juta orang pada November 2024, berbanding 16.72 juta orang pada Oktober 2024.

 

Sementara itu, bilangan penganggur terus berkurang kepada 546.7 ribu orang, turun sebanyak 0.9 peratus daripada 551.4 ribu orang pada Oktober 2024.

 

Kadar pengangguran bagi November 2024 kekal pada 3.2 peratus, seperti pada bulan sebelumnya.

 

 

DOSM

 

 

Sebahagian besar penduduk bekerja pada bulan November 2024 adalah dalam kategori pekerja, merangkumi 74.9 peratus. Kategori ini menunjukkan 2 peningkatan marginal iaitu sebanyak 0.1 peratus, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 12.54 juta orang (Oktober 2024: 12.53 juta orang).

 

Pada masa yang sama, terdapat trend peningkatan dalam kategori penduduk bekerja sendiri, dengan pertambahan 0.4 peratus kepada 3.11 juta orang berbanding 3.10 juta orang pada Oktober 2024.

 

Mengikut sektor ekonomi, sektor Perkhidmatan terus merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti Perdagangan borong & runcit; Pengangkutan & penyimpanan; serta Maklumat & komunikasi.

 

Trend yang sama dalam bilangan guna tenaga juga dilihat dalam sektor Pembuatan, Pembinaan, Perlombongan & pengkuarian, dan Pertanian pada November 2024.

 

Menjelaskan lebih lanjut mengenai situasi pengangguran pada bulan November, Dr. Mohd Uzir menyatakan bahawa mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, atau penganggur aktif, merangkumi 79.8 peratus daripada jumlah penganggur.

 

Kumpulan ini mencatatkan pengurangan sebanyak 0.9 peratus kepada 436.2 ribu orang (Oktober 2024: 440.0 ribu orang). Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 62.6 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 6.0 peratus.

 

Begitu juga, penganggur tidak aktif, atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, turun sebanyak 0.7 peratus kepada 110.6 ribu orang (Oktober 2024: 111.4 ribu orang).

 

Pada bulan November 2024, kadar pengangguran belia bagi mereka yang berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.4 peratus, mencatatkan 300.6 ribu penganggur belia (Oktober 2024: 10.4%; 301.5 ribu orang).

 

Pada masa yang sama, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun mencatatkan penurunan sebanyak 0.1 mata peratus kepada 6.2 peratus, dengan 415.6 ribu penganggur belia berbanding bulan sebelumnya (Oktober 2024: 6.3%; 420.2 ribu orang).

 

Bagi penduduk di luar tenaga buruh, bilangan penduduk yang tidak berada dalam tenaga buruh berubah sedikit pada bulan November 2024, dengan sedikit penurunan sebanyak 0.02 peratus kepada 7.23 juta orang (Oktober 2024: 7.23 juta orang).

 

Komposisi utama luar tenaga buruh adalah kerja rumah/ tanggungjawab keluarga, dengan peratus sumbangan sebanyak 43.1 peratus, diikuti oleh kategori bersekolah/ latihan (42.3%).

 

Mengakhiri kenyataan tersebut, kedudukan pasaran buruh Malaysia yang stabil antaranya adalah disokong oleh aktiviti pengambilan pekerja yang menggalakkan berikutan pengembangan berterusan dalam aktiviti perniagaan selari dengan pertumbuhan ekonomi domestik yang baik.

 

Justeru, prestasi tenaga buruh negara dilihat akan terus berada dalam kedudukan yang kukuh pada bulan-bulan berikutnya, susulan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan yang stabil. - DagangNews.com