Crest Builder diunjur raih untung pada FY24, FY25, Rakuten Trade saran 'Beli' pada 46 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Crest Builder diunjur raih untung pada FY24, FY25, Rakuten Trade saran 'Beli' pada 46 sen sesaham

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Okt - Crest Builder Holdings Bhd diunjurkan meraih keuntungan bersih teras sebanyak RM15.7 juta pada tahun kewangan 2024 (FY24) dan RM22.3 juta pada FY25, kata Rakuten Trade.

 

"Crest Builder yang akan membuat penampilan sulungnya di Pasaran ACE pada 9 Oktober merupakan pakar pengimejan dan analisis merentas pelbagai industri yang digunakan terutamanya untuk pemeriksaan kualiti, analisis sampel dan R&D.

 

"Saranan 'Beli' dengan harga sasaran (TP) 46 sen sesaham, disokong oleh purata wajaran 18x PER pada FY25F EPS, sejajar dengan rakan tersenarainya," katanya dalam satu nota penyelidikan. 

 

Rakuten Trade berkata, peningkatan keuntuntungan bersih kumpulan itu didorong oleh pembangunan sektor semikonduktor yang menyumbang 15.3% hingga 25.9% daripada hasil kumpulan dari FY20 hingga FY24.

 

Katanya, strategi pertumbuhan kumpulan itu menumpukan kepada meluaskan rangkaiannya di rantau Asia termasuk pembinaan pasukan di Vietnam, mengukuhkan pasukannya di Bangkok dan membuka cawangan baharu di China. 

 

"Pengembangan ini bertujuan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan, sambil membina perkhidmatan yang lebih besar dan pasukan sokongan untuk mengendalikan permintaan yang semakin meningkat.

 

"Selain itu, kumpulan itu merancang untuk menubuhkan ibu pejabat baharu di Selangor, dengan anggaran perbelanjaan modal (capex) RM23.6 juta, untuk mengoptimumkan dan menyelaraskan operasi. 

 

"Tambahan pula, pembelian peralatan demonstrasi terkini termasuk 3 unit peralatan pengimejan X-Ray dan 3 unit peralatan pengurusan sampel. 

 

"Ini mencerminkan komitmen yang kuat untuk terus memacu kemajuan teknologi dan memenuhi keperluan pelanggan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, idustri pengimejan, analisis dan ujian Malaysia sudah bersedia untuk pertumbuhan, didorong oleh kemajuan merentasi pelbagai industri, peningkatan penggunaan Internet Kebendaan (IoT) dan teknologi Industri 4.0.

 

"Industri itu berkembang daripada RM4.3 bilion pada 2020 kepada RM7.25 bilion pada 2023, mencapai kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 18.72%. 

 

"Liputan industri utama, semikonduktor dan industri E&E, dijangka kekal teguh dan menguntungkan. Oleh itu, kami menjangkakan CAGR pendapatan FY23 hingga FY26 sebanyak 8.5% disokong oleh pengembangan wilayah, pertumbuhan merentas pelbagai industri dan sokongan kerajaan," katanya.- DagangNews.com