ITMAX dijangka terima kontrak pemasangan CCTV daripada pihak berkuasa tempatan Muar, Tangkak dan Segamat - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

ITMAX dijangka terima kontrak pemasangan CCTV daripada pihak berkuasa tempatan Muar, Tangkak dan Segamat - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Okt - Selepas berjaya meraih kontrak tempat letak kereta pintar bersama trio pihak berkuasa tempatan daerah barat laut Johor (Muar, Tangkak dan Segamat), ITMAX System Bhd dijangka menerima kontrak pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) daripada daerah itu pada masa hadapan. 

 

Maybank IB berkata, difahamkan, sehingga kini kumpulan itu telah memasang lebih 1,000 unit CCTV di empat daerah Johor iaitu Johor Bahru, Pasir Gudang, Iskandar Puteri dan Kulai serta perlu melengkapkan pemasangan kesemua 1,640 unit di kawasan itu menjelang akhir tahun.

 

Terdahulu, kumpulan itu mengumumkan, anak syarikatnya Southmax Sdn Bhd pada 7 Oktober telah menerima Surat Anugerah (LOA) oleh Majlis Daerah Muar (MPM), melantiknya sebagai pengendali tempat letak kereta pintar untuk 8,650 petak letak kereta jalan yang diwartakan seluruh daerah.

 

LOA tersebut adalah selama 15 tahun, bermula pada 1 Oktober 2024 hingga 30 September 2039.

 

Bilangan tempat letak kereta yang akan ditadbir oleh SSB di Muar tidak terhad dan akan meningkat selepas kerja-kerja pembesaran akan datang

 

ARTIKEL BERKAITAN: ITMAX terima kontrak pengurusan tempat letak kereta pintar kelima di Johor

 

"Kami menyemak naik unjuran pendapatan FY24-FY26 sebanyak +1%/+2%/+2% untuk mengambil kira sumbangan tempat letak kereta pintar yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, termasuk Muar, ITMAX kini mentadbir 57,389 tempat letak kereta jalan di seluruh Johor.

 

Katanya, secara kolektif, temat letak kereta itu boleh menjana perolehan sebanyak RM12.1 juta/RM29.5 juta untuk ITMAX (selepas perkongsian hasil dengan majlis dan mengandaikan kadar penggunaan campuran sebanyak 40%) pada FY24/FY25.

 

"Pentadbiran tempat letak kereta terbuka menawarkan majlis daerah potensi penjanaan hasil yang kukuh sambil meminimumkan kos pengeurusan melalui model perbelanjaan operasi yang rendah," katanya.- DagangNews.com