Kenanga Research jangka pendapatan Shin Yang meningkat 23% didorong pertambahan hasil pembinaan kapal | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka pendapatan Shin Yang meningkat 23% didorong pertambahan hasil pembinaan kapal

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Kenanga Research menjangkakan pendapatan Shin Yang Group Bhd meningkat 23% didorong pertambahan 20% dalam hasil pembinaan kapal.

 

Katanya, ia juga disokong oleh tempahan bernilai RM90 juta dengan penambahan buku pesanan sekitar RM100 juta. 

 

Firma penyelidikan itu juga meramalkan peningkatan sebanyak 25% dalam hasil pembaikan kapal kerana permintaan terhadap perkhidmatan itu berkemungkinan meningkat disebabkan permintaan kukuh untuk kapal sokongan luar pesisir (OSV) terpakai.

 

"Perniagaan perkapalan dijangka kekal stabil dari tahun ke tahun, kerana kami tidak menjangkakan peningkatan yang ketara dalam permintaan perkapalan," katanya dalam satu not kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu percaya, bahagian pembinaan kapal kumpulan hanya pada peringkat awal ledakan pendapatan, kerana sebahagian besar hasil semasanya diperoleh daripada pembaikan dan pengubahsuaian kapal.

 

Katanya, dengan tiga limbungan pembinaan kapal yang terletak di Kuala Baram, Miri dan Bintulu, kumpulan itu mempunyai potensi kapasiti untuk membina antara dua ingga enam kapal setahun.

 

Bagi FY25, Kenanga Research mengunjurkan pertumbuhan pendapatan yang lebih perlahan sebanyak 14.3%, disokong oleh peningkatan 10% lagi dalam hasil pembaikan kapal, manakala hasil pembinaan kapal secara konservatif dijangka meningkat sedikit kepada RM100 juta.

 

Katanya, kunci kira-kira kumpulan juga dijangka berada pada kedudukan tunai bersih pada FY25 dengan baki tunai bersih RM550 juta.

 

"Kami ambil perhatian bahawa kumpulan membayar dividen pada tahun-tahun tertentu tetapi arah alirannya tidak menentu," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM1.17 sesaham. - DagangNews.com