Kossan diramal raih manfaat daripada kenaikan tarif import AS ke atas China | DagangNews Skip to main content

Kossan diramal raih manfaat daripada kenaikan tarif import AS ke atas China

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Okt - Tarif import Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi ke atas pembuat sarung tangan China dijangka memberi memanfaatkan pemain industri Malaysia termasuk Kossan Rubber Industries Bhd, yang mungkin menyaksikan anggaran pertambahan pendapatan antara 5% hingga 6% pada tahun kewangan 2025 (FY25) dan FY26.

 

Bagaimanapun, dengan kelemahan dolar AS berbanding ringgit, kumpulan itu mungkin menghadapi beberapa cabaran, walaupun ia boleh dikurangkan dengan menaikkan purata harga purata (ASP).

 

RHB Investment menyemak turun pendapatan FY24 hingga FY26 masing-masing sebanyak 12%, 33% dan 20%, sebahagian besarnya mencerminkan kesan kelemahan dolar terhadap ringgit.

 

"Andaian dolar/ringgit untuk tempoh tersebut diturunkan kepada 4.50, 4.00 dan 4.10 daripada 4.65, 4.45 dan 4.40.

 

"Setiap perubahan 5% dalam dolar/ringgit, impak kepada pendapatan FY25 dan FY26 kumpulan dianggarkan pada 22% dan 17%," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kesan itu bagaimanapun boleh dikurangkan dengan menaikkan ASP memandangkan dolar yang semakin lemah kerana kebanyakan mereka sudah berada di peringkat perbincangan dengan pelanggan untuk menaikkan harga sekurang-kurangnya AS$1.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.51 sesaham," katanya.

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan ramalan pendapatannya untuk FY24 hingga FY26, kerana Kossan telah melindung nilai mata wang untuk kedua-dua ASP.

 

Katanya, bagi FY25 dan seterusnya, Kossan akan dapat mengatasi masalah kelemahan dolar menerusi peningkatan ASP kepada pelanggan, kerana mekanisme pelepasan kos akan dipulihkan untuk pesanan November.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “beli” ke atas saham itu dengan TP tidak berubah sebanyak RM3 sesaham.

 

Syarikat penyelidikan itu menjangkakan keputusan suku ketiga 2024 kumpulan itu mendatar berikutan persaingan domestik dan pendapatan yang lebih kukuh bermula suku keempat dan seterusnya.- DagangNews.com