Perumahan mampu milik diunjur jadi pemacu pendapatan utama MGB, kata Mercury Securities | DagangNews Skip to main content

Perumahan mampu milik diunjur jadi pemacu pendapatan utama MGB, kata Mercury Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Okt - Perumahan mampu milik dijangka menjadi pemacu pendapatan utama MGB Bhd berikutan inisiatif kerajaan menggalakkan pemilikan rumah, kata Mercury Securities.

 

Katanya, MGB telah melancarkan lima projek rumah mampu milik daripada enam projek yang diperolehnya setakat ini, dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) gabungan sebanyak RM2 bilion.

 

Firma penyeidikan tu berkata, projek-projek itu telah mencapai kadar pengambilan melebihi 90%.

 

"Pada pandangan kami, perubahan dasar seperti cadangan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia untuk mewujudkan amanah negara bagi membina rumah mampu milik, boleh menjadi pengubah permainan bagi syarikat pembinaan khusus seperti MGB,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Sementara itu, buku pesanan tertunggak terkini MGB berjumlah RM1.3 bilion, mewakili 1.5 kali hasil pembinaan tahun kewangan 2023.

 

Mercury Securities berkata, sehingga kini, kumpulan itu telah memperoleh dua projek baharu daripada LBS Bina berjumlah RM396 juta dan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran penambahan buku tempahan tahunannya antara RM400 juta dan RM600 juta.

 

Selain perumahan, MGB juga sedang mencari peluang untuk mendapatkan beberapa pekerjaan daripada jenis projek kerajaan yang lain, termasuk sekolah dan kuarters perumahan.

 

Firma penyelidikan itu menekankan usaha MGB untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Bank of China untuk mendapatkan pembeli berpotensi untuk pembangunan taman perindustriannya di Kemaman, Terengganu dengan anggaran GDV sebanyak RM680 juta.

 

"Selepas menolak pemotongan 14% bagi kerajaan negeri dan mengandaikan margin keuntungan sebelum cukai 20%, kami menganggarkan usaha niaga ini boleh menyumbang sehingga RM100 juta kepada pendapatan MGB apabila kesemua tujuh bidang tanah dijual sepenuhnya," katanya.

 

Firma penyelidikan itu memulakan liputan ke atas kumpulan itu dengan saranan "beli" pada harga sasaran (TP) RM1.18 sesaham.- DagangNews.com