Reservoir Link Energy bekerjasama dengan Ad Terra Asia kembangkan penawaran perniagaan CCUS di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link Energy bekerjasama dengan Ad Terra Asia kembangkan penawaran perniagaan CCUS di Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Reservoir Link Energy Bhd menerusi Reservoir Link Solutions Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Ad Terra Asia Sdn Bhd bagi mengembangkan penawaran perniagaan rumusan penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Malaysia.

 

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak berhasrat bekerjasama dalam melaksanakan projek secara bersama, memanfaatkan kepakaran masing-masing, membolehkan Reservoir Link menawarkan teknologi CCUS dan kajian bawah permukaan, geologi dan geofizik kepada pelanggannya di Malaysia.

 

Kerjasama itu menekankan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk mencipta rumusan yang memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk menangkap karbon dalam industri tenaga.

 

"Perjanjian itu sah selama enam bulan, dengan pilihan untuk lanjutan bagi tempoh 6 bulan tambahan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ad Terra Asia merupakan anak syarikat milik penuh Ad Terra Consultancy SA yang menyediakan sokongan teknikal, komersial dan kawal selia kepada sektor tenaga di peringkat antarabangsa sejak 2010.
 

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, menerusi inovasi, perkongsian strategik dan komitmen terhadap penjagaan alam sekitar, pihaknya memastikan kumpulan bersedia menghadapi cabaran dan peluang yang akan datang.

 

Beliau berkata, keputusan kumpulan untuk melabur dalam CCUS adalah respon kepada permintaan yang semakin meningkat untuk rumusan tenaga mampan yang sejajar dengan inisiatif Petroleum Sarawak Berhad.

 

"Kami akan memberi tumpuan kepada teknologi yang bukan sahaja memacu keuntungan tetapi juga mencipta nilai jangka panjang dengan menangani cabaran alam sekitar yang dihadapi oleh industri.

 

"Kerjasama dengan Ad Terra Asia ini membolehkan kami memanfaatkan kepakaran yang diperlukan untuk memberi impak yang bermakna kepada usaha pengurangan karbon Malaysia serta mempelbagaikan tawaran perniagaan kami," katanya.- DagangNews.com