KUALA LUMPUR 8 Okt - Syarikat perkhidmatan pembinaan, Tuju Setia Berhad (Tuju Setia) memperoleh kontrak berjumlah RM317.6 juta untuk mereka bentuk dan membina blok perubatan baharu, Blok C di Hospital Gleneagles di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Blok perubatan baharu setinggi 19 tingkat itu akan dibina di atas tanah seluas 1.01 hektar bersebelahan dengan bangunan tambahan, Blok B di kompleks hospital tersebut.
Ia akan merangkumi wad 280 katil, jabatan pengimejan, farmasi, unit materniti, pusat haemodialisis, klinik pakar, pejabat, gerai makanan, ruang runcit serta unit dan kemudahan khusus lain.
Di samping itu, empat tingkat blok perubatan tersebut akan digunakan untuk Penjagaan Warga Emas.
Tuju Setia baru-baru ini menyiapkan Hospital Wanita & Kanak-Kanak Tengku Permaisuri Norashikin di Kajang, Selangor.
Pengarah Urusan Tuju Setia Berhad, Wee Eng Kong berkata, projek hospital memerlukan pengetahuan teknikal yang kukuh dan komitmen pengurusan.
"Pemerolehan projek baharu ini adalah bukti rekod prestasi kami dalam melaksanakan pembinaan hospital dan penjagaan kesihatan. Perisian Pemodelan Maklumat Bangunan tiga dimensi akan digunakan untuk meningkatkan kemampuan kami dalam reka bentuk dan pelaksanaan projek ini," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Eng Kong, syarikatnya baru-baru ini memperkukuhkan pasukan pengurusan kanan seiring dengan rancangan pertumbuhan untuk mengekalkan kedudukan sebagai pembina pilihan bagi pelanggan.
"Kami berbangga dapat mengekalkan dan mengembangkan senarai pelanggan yang bereputasi melalui komitmen kami dalam menyampaikan setiap projek tepat pada masanya dan dengan penarafan QLASSIC 1 yang tinggi," tambah beliau.
Projek pembinaan tersebut akan dilaksanakan oleh Tuju Setia dengan kerjasama GPQ Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan terlibat dalam perniagaan kerja pembinaan, termasuk pembinaan hospital.
Blok perubatan baharu itu akan dilengkapi dengan kemudahan terkini yang bertujuan untuk memberikan penjagaan khusus kepada pesakit dalam sub-spesialisasi yang baru muncul seperti pembedahan mikro, tangan, kaki dan pergelangan kaki, serta tulang belakang.
Selain itu, ia dijangka akan mengandungi ciri bangunan hijau untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan kualiti persekitaran dalaman.
Tuju Setia adalah pembina berdaftar B29 dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, yang membenarkannya melaksanakan pembinaan hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan. - DagangNews.com