Untung bersih Luxchem jatuh lebih 26% pada 3QFY24 akibat perbelanjaan pentadbiran tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Luxchem jatuh lebih 26% pada 3QFY24 akibat perbelanjaan pentadbiran tinggi

Gambar hiasan dari laman web rasmi Luxchem Corp Bhd
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Okt - Untung bersih pengeluar bahan plastik dan resin, Luxchem Corp Bhd bagi suku ketiga susut lebih 26% akibat perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi.

 

Syarikat itu mencatatat untung bersih bagi tiga bulan berakhir 30 September 2024 (3QFY24) pada RM6.67 juta, berbanding RM9.07 juta pada tahun lalu.

 

Bagaimanapun, hasil daripada kedua-dua segmen perdagangan dan pembuatan telah meningkat sebanyak 18.29% kepada RM196.09 juta daripada RM165.78 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, mereka telah diberi amaran mengenai prestasi kewangan kumpulan mungkin terjejas. 

 

"Ini akibat beberapa cabaran utama, termasuk kadar pertukaran dolar AS/ringgit, turun naik harga bahan mentah, situasi permintaan dan bekalan bahan mentah, persaingan sengit serta konflik geopolitik yang berterusan. 

 

"Bagaimanapun, kami akan terus meningkatkan produktiviti dan kecekapannya untuk menangani faktor dan cabaran luaran," katanya.

 

Bagi sembilan bulan berakhir 30 Sept 2024 (9MFY24), keuntungan bersih kumpulan meningkat 17.11% kepada RM30.43 juta daripada RM25.99 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

 

Sementara itu, hasilnya meningkat 23.79% kepada RM589.44 juta, berbanding RM476.17 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.- DagangNews.com