Teroka Majubina, SR Marine Services meterai MoU bina kapal saiz sederhana bagi pasaran Malaysia dan Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Teroka Majubina, SR Marine Services meterai MoU bina kapal saiz sederhana bagi pasaran Malaysia dan Asia Tenggara

Datuk Mohd Isa Abu Kasim (tiga dari kanan) dan Sivanes Madavin (tiga dari kiri) memeterai MoU untuk SR Marines Services menyediakan perkhidmatan marin yang lengkap kepada Teroka Majubina.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Jan - Teroka Majubina Sdn Bhd dan SR Marine Services Sdn Bhd telah memeterai Memorandum persefahaman (MoU) melibatkan pembinaan kapal sederhana saiz untuk pasaran di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, Teroka Majubina berkata rakan kongsinya itu akan menyediakan perkhidmatan untuk memudahkannya memperoleh kapal sokongan luar pesisir dan binaan baharu yang diperlukan.

 

Syarikat itu berkata MoU yang ditandatangani hari ini merupakan sebahagian daripada skop perniagaan Teroka Majubina yang akan membangunkan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid di Tanjung Agas, Pekan.

 

MoU hari ini ditandatangani oleh Pengerusi Teroka Majubina, Datuk Mohd Isa Abu Kasim, manakala SR Marine Services pula diwakili Pengarah Urusannya, Sivanes Madavin.

 

Mohd Isa menyifatkan MoU tersebut satu kemajuan penting dalam merealisasikan dan menjayakan objektif pembangunan Kompleks Kapal Hibrid di Pekan, Pahang.

 

“Sejak MoU pembinaan Kompleks Hibrid ditandatangani tiga bulan lalu, Teroka Majubina telah mencapai beberapa fasa kemajuan dan kejayaan. Sehubungan itu, MoU hari ini membantu melengkapkan misi besar Teroka Majubina.

 

 

Datuk Mohd Isa Abu Kasim (tiga dari kanan) dan Sivanes Madavin (tiga dari kiri) memeterai MoU untuk SR Marines Services menyediakan perkhidmatan marin yang lengkap kepada Teroka Majubina.

 

 

“Kerjasama untuk membina kapal sederhana saiz ini akan menjayakan keperluan dan permintaan jangka panjang di rantau ini dan lain-lain rantau,” kata beliau selepas majlis menandatangani Mou dengan SR Marine Services di sini, hari ini.

 

Dalam pada itu, Sivanes berkata, SR Marine Services gembira dan bangga untuk berganding dengan Teroka Majubina dalam membina dan membangunkan kapal-kapal diperlukan.

 

“SR Marine Services yakin dan optimis bahawa kekuatan sedia ada akan menjayakan objektif MoU yang dimeterai hari ini.

 

“Kami yakin usaha sama SR Marine Services dan Teroka Majubina akan menjadi titik tolak untuk kejayaan lebih besar kelak, untuk kedua-dua syarikat ini dan juga negara dalam jangka panjang,” kata beliau.

 

Teroka MajuBina kini dalam proses perancangan pembinaan Kompleks Kapal Hybrid yang dijangka mula beroperasi pada Jun 2025 dengan nilai keseluruhan berjumlah AS$1.5 bilion (sekitar RM7 bilion).

 

Kompleks itu merangkumi kawasan seluas 404.7 hektar, yang menempatkan enam 'dry docks' sepanjang 500 meter dan dikelilingi 12 dermaga. - DagangNews.com