KUALA LUMPUR 8 Okt. - Kerajaan menyerahkan sepenuhnya isu yang melanda Malaysia Airlines Berhad (MAB) kepada pemegang saham tunggal, Khazanah Nasional Berhad untuk menyelesaikannya.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga menekankan bahawa kerajaan tidak akan menyuntik dana tambahan buat syarikat penerbangan itu.
“Kami sentiasa mengatakan bahawa masalah ini perlu melibatkan Khazanah.
“Kementerian Kewangan tidak akan menyuntik sebarang tunai atau modal untuk syarikat penerbangan itu menerusi Khazanah. Oleh itu, Khazanah perlu melaksanakan langkah sendiri untuk memastikan MAB terus bertahan,” katanya kepada radio BFM seperti dilaporkan Bernama.
Sebelum ini, Reuters mendedahkan bahawa syarikat induk MAB, Malaysia Aviation Group (MAG) telah memberi amaran kepada pemberi pinjaman sekiranya Khazanah menghentikan pembiayaan, maka syarikat penerbangan itu akan ditutup jika rundingan tidak berjaya.
Ketika ditanya sama ada kerajaan akan menutup syarikat itu atau memberi sebarang jaminan, Tengku Zafrul menjawab pihaknya tidak mempertimbangkan sebarang sokongan daripada kerajaan.
Sebelum ini, Khazanah dilaporkan meneroka peluang untuk menggabungkan MAB dengan syarikat penerbangan lain seperti AirAsia, tetapi tidak berjaya.
Baca : Tiada rundingan gabung Malaysia Airlines, AirAsia
Ini adalah berikutan budaya kerja dan model perniagaan adalah berbeza.
Kumpulan syarikat penerbangan itu juga dikatakan berdepan dengan kadar perbelanjaan tunai kira-kira SG$84 juta pada setiap bulan, tetapi hanya mempunyai SG$88 juta mudah tunai (liquidity) setakat 31 Ogos.
Baca : Malaysia Airlines perlu suntikan dana
Pandemik COVID-19 mengheret industri penerbangan merosot dengan pelbagai syarikat seluruh dunia terpaksa ditutup atau disahkan bankrap.
Industri itu juga dijangka mencatatkan kerugian sehingga AS$84.3 bilion pada 2020 dengan margin keuntungan bersih -20.1%, manakala hasil jatuh 50% kepada AS$419 bilion daripada AS$838 bilion pada 2019, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). - DagangNews.com