TH Heavy Engineering diperintah bayar RM288,718 juta kepada Global Mariner Offshore Services | DagangNews Skip to main content

TH Heavy Engineering diperintah bayar RM288,718 juta kepada Global Mariner Offshore Services

KUALA LUMPUR 24 Julai - TH Heavy Engineering Bhd (THHE) telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi membayar AS$63.419 juta (RM288.719 juta) kepada rakan usaha samanya Global Mariner Offshore Services, atas ganti rugi yang didakwa Global Mariner yang dialaminya akibat keengganan THHE untuk menghormati perjanjian pemegang sahamnya bagi memindahkan 80% kepentingannya dalam Floatech (L) Ltd kepada Global Mariner, ekoran kegagalan THHE menjelaskan hutang.

 

Global Mariner memegang baki 20% dalam Floatech — sebuah syarikat berpangkalan di Labuan yang memiliki dan memajak kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) kepada syarikat minyak dan gas huluan.

 

THHE yang 66.45% eluitinya dimiliki Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) dinyahsenarai pada September tahun lepas, turut diarah membayar RM1.9 juta sebagai kos, termasuk RM800,000 kepada Global Mariner, menurut laporan The Edge hari ini.


 

Urusharta Jamaah Sdn Bhd

 


UJSB ialah syarikat tujuan khas Kementerian Kewangan yang mengambil alih pegangan saham Tabung Haji dalam THHE pada 2018, bersama lebih daripada 100 syarikat tersenarai yang telah dilaburkan oleh Tabung Haji tetapi sahamnya kurang berprestasi.

 

Langkah itu adalah sebahagian daripada inisiatif untuk memulihkan tabung itu, kerana pelaburannya merosot sehingga tidak sah untuk Tabung Haji terus membayar dividen kepada pencarumnya.

 

Keputusan itu disampaikan 21 Julai lalu oleh hakim Adlin Abdul Majid, yang membenarkan tuntutan Global Mariner terhadap THHE.

 

Beliau juga menolak dakwaan balas THHE bahawa kedudukan kewangannya diburukkan lagi oleh kegagalan Global Mariner untuk melaksanakan kewajipannya sebagai pemegang saham dalam Floatech, dan bahawa Global Mariner telah salah gambarkan daya maju pemerolehan FPSO DP 1 apabila ia mengesyorkan Floatech membeli kapal itu.

 

THHE mendakwa bahawa Global Mariner hanya membuat pembayaran sebahagian daripada kewajipan pegangan sahamnya untuk membiayai operasi Floatech, berdasarkan 20% kepentingan yang dimilikinya, yang menyebabkan THHE terpaksa meletakkan RM64.699 juta sebagai pendahuluan kepada usaha sama itu, termasuk RM17.974 juta bagi pihak rakan kongsinya.

 

Dalam saman itu, THHE turut menamakan pemegang saham Global Mariner — Zahar Mohd Hashim Zainuddin, Abdul Rahman Mohd Shariff dan Nor Badli Munawir Mohamad Alias Latfi — sebagai defendan.

 

Peguam Global Mariner, David Matthews, mengesahkan keputusan kes itu ketika dihubungi. Dia dibantu oleh Olivia Loh dan Ann Lai. Tetuan Izral Partnership mewakili THHE, manakala peguam Chetan Jethwani dan Alan Wong mewakili defendan individu yang dinamakan dalam tuntutan balas THHE.

 

Global Mariner, yang terlibat dalam perniagaan perundingan marin, menandatangani perjanjian pemegang saham dengan THHE pada 18 Feb 2014 untuk mengambil alih 20% kepentingan dalam Floatech, dengan THHE memegang baki 80%.

 

Menurut perjanjian itu, jika salah satu daripada rakan kongsi menjadi muflis, rakan kongsi yang mengalami masalah kewangan perlu menawarkan kepentingannya kepada rakan kongsi yang lain dalam tempoh 60 hari selepas peristiwa lalai — dakwa Global Mariner.

 

Global Mariner mendakwa bahawa ia mendapati THHE telah menjadi muflis pada 2016 dan tidak dapat membayar hutangnya, dengan empat petisyen penggulungan difailkan oleh penghutangnya - Orwell Offshore Ltd, MIB Italiana SPA, Nusapetro Sdn Bhd dan Six Tee Engineering Group Pte Ltd - kerana tidak membayar lebih RM45 juta terhutang.

 

Global Mariner juga mendakwa bahawa insolvensi THHE adalah jelas berdasarkan carian syarikat yang dijalankannya, kerana THHE mempunyai liabiliti bersih sebanyak RM702.802 juta pada masa itu, manakala aset bersihnya hanya berjumlah RM297 juta.

 

Selepas itu, Global Mariner mengeluarkan notis jualan lalai kepada THHE pada Julai 2016 untuk membeli lebih pegangan THHE, memetik insolvensi THHE.

 

Bagaimanapun, THHE menafikan bahawa ia muflis dalam surat yang dikeluarkan peguamnya pada September tahun itu.

 

Ini mendorong Global Mariner untuk mengancam tindakan undang-undang terhadap THHE, dengan mendakwa bahawa THHE enggan mematuhi perjanjian pemegang saham untuk menjual kepentingannya dalam Floatech walaupun telah menerima notis penjualan lalai untuk berbuat demikian.

 

Dalam saman balas yang difailkan, THHE mendakwa Badli, bersama-sama Abdul Rahman sebagai alter ego Global Mariner, telah bergantung pada tindakan Orwell, MIB dan Nusapetro untuk mencipta peristiwa mungkir, dan mempertikaikan petisyen penggulungan yang difailkan terhadapnya. Ia juga mahu menuntut RM17.974 juta daripada Global Mariner yang THHE mendakwa ia telah membayar bagi pihak rakan kongsi sebagai pembiayaan untuk Floatech.

 

Di samping itu, ia telah berusaha supaya perjanjian pemegang saham 2014 diisytiharkan terbatal dan tidak sah. - DagangNews.com