KUALA LUMPUR 7 Sept - Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 3% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang berlangsung hari ini.
Menurut bank pusat itu, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang kekal tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi.
Meskipun inflasi teras semakin perlahan di ekonomi maju, inflasi tersebut masih melebihi purata jangka panjang.
Perdagangan global juga terjejas disebabkan oleh peralihan perbelanjaan (rotation of spending) daripada barangan kepada perkhidmatan serta permintaan yang terus berkurang dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).
"Pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat.
"Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutamanya disebabkan oleh momentum ekonomi negara maju yang lebih perlahan, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
BNM berkata, meskipun prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan dan penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar dan berpanjangan.
Katanya, kemungkinan pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan, permintaan E&E yang pulih dengan lebih teguh serta pelaksanaan projek sedia ada dan projek baharu yang lebih pantas.
"Selaras dengan jangkaan, inflasi keseluruhan dan inflasi teras terus mereda berikutan keadaan kos yang lebih sederhana.
"Trend menurun ini dijangka berterusan pada separuh kedua tahun 2023, mencerminkan sebahagiannya asas yang lebih tinggi daripada separuh kedua tahun 2022 dan momentum kenaikan harga yang terus reda," katanya.
Bank pusat itu berkata, Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi.
MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan domestik.
"MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil," katanya. - DagangNews.com