Tiada kenaikan pada separuh pertama, CGS-CIMB unjur OPR cecah 3.25% pada hujung 2023 | DagangNews Skip to main content

Tiada kenaikan pada separuh pertama, CGS-CIMB unjur OPR cecah 3.25% pada hujung 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mac - CGS-CIMB Research mengekalkan jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan melakukan sebarang kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada separuh pertama 2023.

 

Bagaimanapun, firma itu percaya akan berlaku kenaikan antara 25 hingga 50 mata asas (bp) pada separuh kedua 2023 menjadikan OPR pada penghujung tahun ini antara 3.00% hingga 3.25%.

 

"Daripada perspektif kami, ini menunjukkan bahawa dasar monetari boleh melihat kecenderungan hawkish kerana dasar monetari akomodatif semasa mungkin tidak konsisten dengan tekanan inflasi yang berterusan dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi optimum," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, ekonomi Malaysia diunjur berkembang sederhana antara 4% hingga 5% pada 2023, disokong oleh permintaan domestik yang ukuh selain menjangkakan ekonomi negara menghadapi cabaran daripada pertumbuhan global yang semakin perlahan.

 

Firma itu berkata, bank pusat itu menjangkakan penggunaan swasta menjadi sederhada kepada 6.1% pada tahun ini (2022: 10.4%), lebih rendah daripada jangkaan sebanyak 6.5%.

 

Bank itu juga menyatakan faktor utama yang boleh mengekalkan penggunaan ialah pertumbuhan pendapatan berterusan melalui semakan dalam kadar cukai pendapatan peribadi, pemindahan tunai dan semakan dasar gaji, seperti gaji minimum dan tuntutan lebih masa.

 

"Bagaimanapun, pertumbuhan produktiviti adalah lebih cepat daripada pertumbuhan upah dan ini akan membawa kepada tekanan inflasi tarikan permintaan yang terhad," katanya.

 

Mengenai inflasi, bank pusat itu menyatakan bahawa indeks harga pengguna (CPI) melebihi 3% dari tahun ke tahun agak membimbangkan. 

 

"Namun, mereka memberi amaran bahawa risiko kepada peningkatan inflasi akibat konflik geopolitik, pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh di China dan pelarasan subsidi domestik," katanya. - DagangNews.com