TLDM lantik Ketua Pengarah Projek LCS baharu  | DagangNews Skip to main content

TLDM lantik Ketua Pengarah Projek LCS baharu 

oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 22 Nov - Program mobilisasi projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) dilihat positif berikutan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat persediaan bagi kemajuan proses tersebut.

 

Minggu lalu, TLDM melantik Laksamana Pertama Ir. Ts. Franklin Jeyasekhar Joseff sebagai Ketua Pengarah Projek Littoral Combat Ship (LCS).

 

Pelantikan Franklin ini dimaklumkan TLDM dalam hantaran menerusi laman Facebook pasukan itu baru-baru ini 

 

Beliau mengambilalih tugas daripada Kapten Abdul Jamal Mohd Nasir dan sepertimana kebiasaan jawatan ini disandang oleh pegawai kanan daripada bahagian kejuruteraan.


 

tldm
Asisten Ketua Staf Perancangan Pembangunan TLDM, Laksamana Muda Mohamad Azuwan Harun (tengah) menyaksikan penyerahan tugas Kapten Abdul Jamal Nasir (kanan) kepada Laksamana Pertama Ir. Ts. Franklin Jeyasekhar Joseff pada 14 November 2022. - Gambar TLDM

 

 

Difahamkan, pihak Boustead Heavy Industries Corporation selaku syarikat induk kepada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) juga akan melantik pengarah projek baharu bagi tujuan sama.

 

Tugas itu ketika ini dipangku oleh Kepten (B) Ir  Azhar Jumaat yang juga Ketua Pegawai Eksekutif BNSSB. Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Pengarah Projek LCS TLDM pada tahun 2016.

 

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan pada Oktober lalu memaklumkan, semua pihak terbabit kini dalam fasa mobilisasi selama enam bulan bermula Jun lalu sehingga Disember untuk melengkapkan projek berkenaan.

 

Antaranya termasuklah pihak Naval Group dari Perancis yang telah menyatakan persetujuan untuk meneruskan rundingan dengan pihak BNSSB berhubung harga.

 

Ini bermakna pembinaan LCS akan disambung semula selepas semua rundingan dan setiap perjanjian dalam fasa mobilisasi dimuktamadkan kelak.

 

 

LCS

 

 

Projek pembinaan enam buah LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah MINDEF  dengan kos keseluruhan RM9 bilion. 

 

Kontrak bagi projek itu bermula 2013 dan sepatutnya dijangka siap dalam masa 10 tahun.

 

Lima buah LCS dibina secara serentak dengan kapal pertama sudah 60 peratus siap manakala empat lagi masing-masing pada pe­ringkat 48, 43, 36 dan 22 peratus siap. 

 

Bagaimanapun, pembinaan kapal keenam belum dimulakan. - DagangNews.com